PETALING JAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya tidak menolak kemungkinan harga rumah di Selangor yang tinggi ketika ini hanya boleh diturunkan dengan memperkenalkan Akta Pembaziran.
Ketuanya, A’zlan Abu Bakar berkata, dengan akta seumpama itu, pihak berkuasa boleh memantau mana-mana pemaju agar tidak menggunakan bahan binaan secara berlebihan hingga menyebabkan harga rumah melambung tinggi.
“Kalau pemaju buat rumah harga mahal, tengok kalau simen berlebihan, itulah yang akan menjadikan rumah itu murah dan memberi keuntungan kepada pembeli sekiranya Akta Pembaziran itu diperkenalkan.
“Boleh perkenal rumah harga murah cuma bergantung kepada keazaman politik kerajaan Selangor,” katanya berucap pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO Bahagian Petaling Jaya Tahun 2022 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya di sini semalam.
Dalam pada itu, A’zlan memberitahu, harga rumah di Selangor kini mencecah serendah RM400,000 membuktikan kerajaan negeri hanya menjaga pemaju berbanding rakyat.
“Hari ini kerajaan Selangor nak membantu pemaju, bukan nak bantu pembeli, bukan nak bantu anak muda. Kalau nak jadi Menteri Besar bantu pemaju, Datuk Abdul Mutalib Abdul Rahim (Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya) pun selayaknya bantu rakyat Selangor,” katanya.
Tambahnya, jika harga rumah terus tidak terkawal, beliau khuatir lebih ramai anak muda yang tidak mahu berkahwin susulan tidak mampu untuk membeli rumah bagi membina keluarga.
“Hari ini masih ada anak muda belum ada ‘orang rumah’, sebab apa, sebab tiada rumah lagi, harga rumah yang melambung tinggi, kalau kita tengok harga rumah hari ini paling rendah RM400,000.
“Kalau harga macam ini bulanan sudah RM2,000 padahal gaji minimum baru RM1,500 tak cukup nak bayar rumah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette