KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Bengkel Pengukuran Rasuah melalui Kaedah Berasaskan Bukti bersama Jabatan Perangkaan dengan input pakar dari Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) di sini baru-baru ini.
Bengkel lima hari yang berakhir Jumaat lalu itu bertujuan melengkapkan peserta daripada SPRM dan Jabatan Perangkaan dengan teknik dan kemahiran mengukur rasuah dengan kaedah berasaskan pengalaman atau bukti.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, sebagai persediaan ke arah kajian rasuah peringkat kebangsaan pertama SPRM iaitu Kajian Rasuah Malaysia (MaCoS) terdapat harapan yang tinggi untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang tahap rasuah yang berlaku di Malaysia.
Menurut beliau, ia juga untuk membolehkan kerajaan menggunakan hasilnya bagi melaksanakan dasar dan inisiatif yang lebih kukuh untuk membendung gejala rasuah di negara ini.
“Bagi mencapai matlamat ini, SPRM akan mengerahkan sumber untuk memperkasakan pegawai SPRM dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan ke arah membangun dan menjalankan penyelidikan berkesan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan dan pakar akademik,” katanya pada majlis penutupan bengkel tersebut.
Razim menambah, penyelidikan itu juga boleh menjadi rujukan untuk kajian masa depan mengenai landskap rasuah di rantau ASEAN.
Sementara itu, pakar rujuk projek, Prof. Madya Jalaludin Abdul Malik berkata, tinjauan berasaskan bukti adalah penting untuk mengukur tahap sebenar rasuah di negara ini, yang tidak boleh diperoleh daripada indeks berasaskan persepsi.
“Kita sering dimomok oleh tinjauan berasaskan persepsi yang mengatakan bahawa kita mempunyai tahap rasuah yang begitu teruk.
“Sebagai contoh, perbincangan politik yang berpusat pada beberapa kes besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh digunakan sebagai landasan untuk menentukan keadaan rasuah di negara ini,” jelasnya.
Beliau yang juga penyelaras program Ijazah Sarjana Pengajian Sains Sosial Pengajian Rasuah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, kaji selidik berasaskan bukti mampu menangkap pengalaman sebenar seseorang yang melakukan rasuah dan bukannya hanya persepsi tentang rasuah.
“Ia jauh lebih mendalam dan datanya boleh membantu agensi kerajaan merangka strategi dan intervensi yang lebih bersasar untuk menutup peluang rasuah sama ada di peringkat negeri atau nasional,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengucapkan terima kasih kepada Pakar Bersekutu UNODC, Dr. Maurice Dunaiski dan Pegawai Analisis Data, Pusat Kecemerlangan Statistik Jenayah dan Keadilan Jenayah (CoE) UNODC, Jisu Kim, kerana berkongsi kepakaran mereka ketika bengkel berlangsung.
UNODC telah memberikan bantuan dari segi nasihat teknikal dan latihan bengkel tentang cara menjalankan tinjauan tersebut kepada sekitar 20 negara di seluruh dunia.
Ghana dan Nigeria telah menjalankan kajian berasaskan pengalaman atau bukti dan salah satu penerbitan oleh UNODC yang berkaitan adalah Corruption in the Ghana People’s Experience and Views 2022. – MalaysiaGazette