Foto Facebook UKM.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima seramai 4,166 pelajar baharu bagi sesi akademik 2022/2023 di tiga kampusnya iaitu Kampus Bangi, Kampus Kuala Lumpur dan Cheras.

Menerusi hantaran di Facebook milik universiti awam itu, UKM telah menerima sebanyak 44,750 permohonan dengan 9,112 permohonan pilihan pertama.

Daripada jumlah itu, seramai 1,460 atau kira-kira 36 peratus adalah pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan lima pelajar adalah orang kelainan upaya (OKU) yang merangkumi cacat pendengaran, cacat penglihatan dan cacat fizikal.

Menariknya pendaftaran tahun ini, UKM turut menerima lima pasangan kembar antaranya dua orang kembar perempuan yang akan bersama-sama melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-Undang UKM.

“Tahniah kepada semua pelajar baharu yang telah berjaya melanjutkan pengajian di UKM. Kejayaan anda adalah hasil pengorbanan, dorongan dan doa ibu bapa yang tidak pernah putus. Jadikan kejayaan ini sebagai pencetus untuk anda semua melakar kejayaan yang lebih gemilang. Selamat mengharungi perjalanan penuh warna-warni di UKM, Universiti WATAN kita!

“Terima kasih kepada semua Pemudah Cara Kolej Kediaman yang sentiasa membantu memudahkan proses pendaftaran hari ini. Bantuan anda semua telah berjaya memastikan proses pendaftaran ini berjalan lancar dan teratur. Tahniah semua,” tulis UKM.

Sementara itu, pada tahun ini, Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) UKM yang diadakan setiap tahun telah dijenamakan semula dengan nama baharu iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW), bersesuaian dengan kredibiliti UKM sebagai Universiti Watan.

Bertemakan Pewaris Watan, MAW yang berlangsung bermula semalam hingga 12 Oktober ini menerapkan program-program kewatanan seperti Naratif Baharu Kolej Akademia, Naratif Watan: Teras Kecemerlangan, UKM S.I.H.A.T., UKM Siswi Cergas, Amanat Naib Canselor, Ikrar Pelajar Baharu dan Pelancaran Program Sulung & Seni Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.- MalaysiaGazette