Kasim Mansor menyantuni seorang pelajar baharu ketika melakukan tinjauan semasa hari pendaftaran.

KOTA KINABALU – Seramai 4,576 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2022/2023 yang akan mendaftar pada 10 dan 11 Oktober 2022.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata, jumlah tersebut merangkumi 2,770 pelajar dari Sabah, 1,144 dari Semenanjung Malaysia, 582 Sarawak, dan 57 Wilayah Persekutuan Labuan.

“Seramai 23 pelajar selebihnya merupakan pelajar antarabangsa dari enam buah negara, iaitu Bangladesh, Brunei, China, Hongkong, Japan dan Thailand.

”Ia juga merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,480 bagi pelajar B40, lapan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lima atlet sukan, dan lapan orang asli,” katanya.

Menurut Kasim, pada pengambilan pelajar kali ini UMS turut menjadi salah sebuah universiti perintis yang terlibat dalam Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Program ini merupakan hasil cetusan idea Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bagi membantu pelajar khususnya individu pertama dalam keluarga daripada golongan B40 untuk ke menara gading agar kejayaan mereka dapat dijadikan motivasi keluarga dan komuniti setempat.

”UMS telah menawarkan 10 pelajar melalui program Sulung ini yang mana setiap mereka turut menerima biasiswa, elaun bulanan, asrama dan
pementoran sehinggalah mereka mendapat pekerjaan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim turut memaklumkan pelajar yang memerlukanm boleh diberi kelonggaran untuk menangguhkan pembayaran yuran kepada
semester hadapan.

”Kita faham, masih ramai keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kini masih dalam proses penstabilan ekonomi isi rumah. Bagi tujuan penangguhan bayaran, mereka boleh memaklumkan kepada Bahagian Kewangan Pelajar UMS dan kemudian mendaftar seterusnya mengikuti pengajian dalam bidang yang ditawarkan,” katanya.

Untuk rekod, Kesemua pelajar baharu akan tinggal di kolej kediaman dan mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 14 Oktober sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan kampus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast