Gambar hiasan

PROVINSI Kepulauan Riau adalah salah satu provinsi terkaya di Indonesia, terletak di tengah-tengah laluan strategik maritim yang menghubungkan Selat Melaka kepada Laut China Selatan. Kepulauan ini pernah menjadi sebahagian daripada wilayah kekuasaan Srivijaya, Majapahit, Kesultanan Melaka dan empayar Johor-Riau. Pemecahan Empayar Johor-Riau pada tahun 1824 telah membahagikan kesultanan yang dahulunya gagah ini kepada dua bahagian – Kesultanan Johor yang merupakan sebahagian
daripada Malaysia pada hari ini dan Kesultanan Riau-Lingga yang telah dihapuskan oleh Belanda pada tahun 1911.

Kepulauan Riau sememangnya kaya dengan sejarah perdagangan dan perluasan empayar disebabkan kedudukan strategiknya. Kini, pusat pentadbiran Provinsi Kepulauan Riau terletak di Kota Tanjung Pinang di Pulau Bintan. Kota Batam pula adalah bandar terbesar di provinsi ini terletak hanya 13km dari Singapura. Bandaraya Johor Bahru juga terletak tidak terlalu jauh dari lokasi provinsi ini. Memandangkan Selat Melaka adalah salah satu laluan perkapalan terpadat di dunia, Pelabuhan Singapura dan Tanjung Pelepas di Johor telah disenaraikan sebagai pelabuhan ‘top-20’ paling sibuk oleh Majlis Perkapalan Dunia (World Shipping Council).

Pelabuhan Batam dilaporkan sebagai salah sebuah pelabuhan tersibuk di Indonesia di luar Pulau Jawa. Pentadbiran Jokowi telah mengumumkan pada tahun 2019 bahawa Indonesia akan mendirikan ibu kota baru, Nusantara, di belantara Kalimantan. Pembangunan projek mega ini telahpun bermula dan perpindahan fasa pertama dari Jakarta ke Nusantara dianggarkan pada tahun 2024. Banyak negara telah memindahkan ibu kota mereka. Myanmar, sebagai contoh telah memindahkan ibu negaranya dari Yangon ke Naypyidaw pada tahun 2012, Ivory Coast telah memindahkan ibu kotanya dari Abidjan ke Yamoussoukro pada tahun 1983 serta Australia melalukan perkara yang sama – dari Melbourne ke Canberra pada tahun 1927. Malaysia juga memindahkan pusat pentadbirannya ke Putrajaya pada tahun 2001 namun ibu kota tetap dikekalkan di Kuala Lumpur.

Dari segi jarak, Putrajaya hanya 40km ke selatan Kuala Lumpur dan masih sebahagian dari Lembah Klang. Canberra pula terletak 280km dari Sydney. Naypyidaw terletak di tengah-tengah Myanmar dan berjarak 400km dari kota terbesarnya Yangon. Yamoussoukro dibina di pedalaman negara Ivory Coast terletak lebih 200km dari bekas ibu kotanya, Abidjan. Pada hari ini, Putrajaya dan Canberra adalah kota-kota yang makmur seiring peredaran zaman manakala Naypyidaw dan Yamoussoukro tidak sebegitu tampaknya. Naypyidaw dilaporkan masih kosong dan sepi sedangkan ibu kota Ivory Coast tidak berkembang seperti yang diharapkan.

Antara sebab mengapa Kalimantan Timur dipilih sebagai tapak pembangunan bagi Nusantara adalah kerana lokasinya di tengah-tengah Negara Indonesia dan tidak seperti provinsi lain, Kalimtantan rata-ratanya bebas daripada bencana alam. Sekiranya faktor geografi adalah sebabnya, maka ianya tidaklah terpakai untuk kota-kota seperti Canberra, Ottawa, Washington, London ataupun Beijing. Kota-kota ini tidak terletak secara geografi di tengah-tengah negara-negara yang memiliki mereka. Sebagai contoh, Beijing tidak terletak di tengah-tengah negara China tapi kedudukannya adalah ke arah timur laut negara terbabit.

Sekiranya faktor geografi adalah faktor utama, kota Canberra seharusnya terletak berdekatan Alice Springs nun di tengah-tengah negara Australia dan Washington DC sepatutnya didirikan di Kansas atau Nebraska. Namun, Australia memilih Canberra yang terletak tidak terlalu jauh dari Sydney di New South Wales manakala Washington terletak berhampiran pantai timur negara Amerika Syarikat berdekatan Baltimore, Philadelphia dan New York. Kota-kota ini terkenal seantero dunia dilengkapi kemudahan-kemudahan yang tiada tolok bandingan bagi para penduduknya, selayaknya ibu kota negara.

Nusantara pula sedang dan bakal dibangunkan Kalimantan, terperosok dari pusat-pusat ekonomi utama di Indonesia seperti Jakarta, Surabaya, Bandung ataupun Medan. Berdasarkan bancian yang dibuat pada tahun 2020, kota Balikpapan, kota utama yang paling hampir dengan Nusantara tidakpun tersenarai sebagai salah sebuah kota terbesar di Indonesia. Memang benar Kalimantan tidak terdedah kepada bencana alam seperti provinsi-provinsi lain. Kepulauan Riau juga memiliki ciri-ciri yang sama. Sekiranya Indonesia memilih Provinsi Kepulauan Riau, seperti Pulau Batam, Bintan atau mana-mana pulau-pulau yang berdekatan sebagai calon tapak bagi mendirikan Nusantara, maka ibu kota negara tersebut tidak akan secara geografi terletak di tengah-tengah kepulauannya.

Akan tetapi, lokasi Provinsi Kepulauan Riau sangat strategik. Ia bukan sahaja terletak berdekatan dengan Singapura malahan tidak terlalu jauh dari ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur. Sekiranya Kepulauan Riau dipilih, Indonesia bakal memiliki ibu kota yang boleh memanfaatkan aliran perdagangan yang melintasi Selat Melaka. Secara logistik, adalah lebih dekat untuk terbang dari Kepulauan Riau ke Singapura, Kuala Lumpur malahan juga Bangkok jika dibandingkan dengan Kalimantan yang terletak beratus kilometer jaraknya ke timur Indonesia, jauh dari kota-kota besar yang lain. Singapura kini sedang membina pelabuhan mega di Tuas yang bakal menjadi pelabuhan kontena terbesar di dunia manakala Malaysia berusaha memajukan projek RAPID di Pengerang, tidak jauh dari Kepulauan Riau.

Bayangkan jika ibu negara Indonesia dibina berdekatan Selat Melaka – ketiga-tiga negara ini akan lebih menguasai aliran perdagangan yang melewati selat kedua tersibuk di dunia ini. Namun, Indonesia telahpun memulakan pembangunan ibu kotanya di Penajam Paser Utara, Kalimantan. Projek mega berskala besar ini akhirnya akan membawa hanya dua maksud – mengukuh atau memecah negara. Tumpuan antarabangsa kini terfokus kepada Indonesia bagi menyaksikan pembangunan Nusantara, ibu kota baru Indonesia, negara kepulauan terbesar di dunia.

Oleh: Prof Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli
Penyelidik di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)