Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid diiringi Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menyampaikan replika cek sumbangan kepada Duta Pakistan, Amma Baloch bagi mangsa banjir di Pakistan pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – MIC sudah menjangkakan pembubaran Parlimen malah mengakui parti terbesar masyarakat India itu sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, partinya sudah mula turun padang menyelaras kerusi-kerusi tradisi selain juga kerusi yang dianggap cerah untuk parti itu menang.

“Hakikatnya pembubaran Parlimen sekaligus PRU-15 ini sahaja dapat menutup mulut-mulut khasnya pembangkang yang sentiasa menggunakan alasan hanya dapat memerintah sekejap sahaja iaitu 22 bulan sebelum tumbang dan itulah sebab mengapa mereka tidak dapat tunaikan janji.

“Tidak apa, kita tengok kebolehan dan kemenangan mereka pada kali ini. Biar rakyat yang membuat keputusan memilih siapakah sebenarnya yang benar-benar telah berjasa selama ini dan siapakah yang hanya sekadar retorik sepanjang masa tanpa melakukan apa-apa.

“PRU-15 ini akan menjadi pertaruhan cukup baik dan terus terang saya katakan, MIC sudah bersedia untuk bertarung dalam pertempuran ini. Kita selalu menjadi mangsa pembangkang khasnya pimpinan India dalam pembangkang, jadi kita akan lihat dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 hari ini.

Dalam pada itu, Vigneswaran berkata, partinya juga sudah hampir memuktamadkan calon-calon untuk PRU-15 dan hanya tinggal 10 peratus yang masih dalam peringkat perbincangan akhir.

Vigneswaran juga bakal bertanding di Parlimen Sungai Siput di Perak yang kini di tangan pembangkang setelah kalah dua PRU. – MalaysiaGazette