ALOR GAJAH – Polis membebaskan aktivis, Jay Jay Denis selepas siasatan berhubung ciapan sinis melalui Twitternya terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam selesai.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki itu dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam tadi setelah keterangannya diambil dan proses siasatan berhubung akaun Twitter miliknya selesai.
Menurutnya, penama sebelum itu telah dibawa dari Klang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah oleh sepasukan polis dari IPD itu bagi membantu siasatan berkaitan satu laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Laporan itu ekoran posting video yang dimuatnaik ke aplikasi Twitter pada 6 September lalu terhadap TYT Melaka sebelum penama telah dibebaskan setelah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan berjalan.
“Polis memohon kepada semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang mengelirukan bagi memberi ruang siasatan secara adil dan telus terhadap kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Media 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian komunikasi. – MalaysiaGazette.
















