Menara Dato' Onn.- foto HAZROL ZAINAL, 29 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat khas malam ini di ibu pejabat parti itu yang terletak di Menara Dato’ Onn.

Menurut sumber, kesemua lima pemimpin tertinggi UMNO atau top five termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hadir pada mesyuarat berkenaan yang bermula kira-kira pukul 8 malam.

Difahamkan MT UMNO hanya akan mengadakan mesyuarat khas apabila terdapat isu-isu penting yang perlu dibincangkan dengan segera.

Terdapat beberapa media sejak malam tadi membuat spekulasi kononnya Ismail Sabri akan membubarkan Parlimen hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Media terbabit melaporkan, Perdana Menteri telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H semalam.

Memetik laporan New Straits Times (NST), kunjungan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak dihidu media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

Ini kerana kebanyakan media membuat liputan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sejak pagi.

Al-Sultan Abdull dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika ini sudah pun berangkat ke ke London malam tadi dan akan berada di sana sehingga 16 Oktober ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada 12 Oktober ini.

Tambah kenyataan itu pada 12 Oktober lalu, Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London.

Cakap-cakap mengenai tarikh PRU-15 bermula sejak minggu lalu iaitu sebelum Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.

Sehingga kini, masih tidak diketahui bilakah tarikh pembubaran Parlimen.-MalaysiaGazette