Ong Kian Ming
Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Ciapan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming pukul 11.27 malam ini menguatkan lagi desas-desus Parlimen akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Malam terakhir sebagai Ahli Parlimen P102 Bangi?” Soalnya dalam ciapan tersebut.

Kian Ming menyambung ciapan dengan berkata, jika benar beliau amat berbangga kerana dapat berkhidmat kepada para pengundi di Balakong, Kajang dan Bangi sepanjang tempoh empat setengah tahun.

Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika Pakatan Harapan memerintah turut memohon maaf jika terdapat sebarang kelemahan sepanjang tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat di Bangi.

“Saya akan bekerja keras berkempen untuk pengganti saya dalam mempertahankan kerusi untuk DAP dan PH,” ciapnya lagi.

Mei lalu, Kian Ming yang mula bertanding pada PRU13 di kerusi Parlimen Serdang, sebelum berpindah Parlimen Bangi pada PRU14, menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada PRU15 bagi memberi peluang kepada muka baharu.

“Cukup sembilan tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen yang telah mengubah kehidupan saya, selain berpeluang berkenalan dan berhubung dengan individu pelbagai latar belakang, etnik dan kewarganegaraan di seluruh negara,” katanya.
Pegawai khas Lim Kit Siang, Syahredzan Johan dijangka menggantikan Kian Ming sebagai calon DAP di Parlimen Bangi.

—MalaysiaGazette