PADA masa kini, telefon pintar telah menjadi keperluan asas kepada kita selain makanan, pakaian dan tempat perlindungan. Penggunaan telefon pintar pula semakin meningkat berdasarkan bilangan pengguna mengikut nisbah aplikasi yang digunakan. Dalam aspek perniagaan terutamanya selepas wabak Covid-19, majoriti kebanyakan perniagaan menggunakan platform secara dalam talian. Orang ramai lebih cenderung untuk menggunakan aplikasi mudah alih berbanding mengakses (Uniform Resource Locator) URL melalui komputer riba. Aplikasi mudah alih bukan sahaja menjadi pilihan tetapi telah menjadi suatu keperluan dalam kehidupan. Pengguna boleh membeli produk dari mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.
Pengguna akan menggunakan aplikasi yang dapat menghubungkan pelanggan dengan produk. Namun, aplikasi tersebut mestilah mempunyai kualiti yang bagus untuk memaparkan produk tersebut kerana aplikasi ini akan bertindak sebagai medium penghubung antara perniagaan dengan pelanggan. Lantas, pengujian aplikasi iaitu Jaminan Kualiti (QA) menjadi bahagian penting dalam proses pembangunan aplikasi mudah alih. Ramai yang tidak membuat pengujian semasa mengusahakan projek pembangunan aplikasi telefon pintar walaupun mereka menyedari akan kepentingannya. Pengujian aplikasi telefon pintar amat penting disebabkan teknologi kini yang sangat menitikberatkan penggunaan Internet melalui telefon pintar.
Buktinya, bilangan pengguna yang semakin meningkat akan meluangkan lebih banyak masa dengan telefon pintar. Jadi, aplikasi yang ditawarkan haruslah mampu menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna. Ujian aplikasi telefon pintar dapat memastikan pengalaman yang sangat baik tanpa mengira jenis aplikasi yang digunakan. Setiap peringkat pembangunan aplikasi perlu menyertakan QA, bermula dengan mencipta kandungan, menganalisis keperluan projek, membina spesifikasi ujian dan pelancaran produk untuk memastikan pembangun aplikasi itu berjaya. Oleh itu, ujian aplikasi telefon pintar merupakan salah satu kemahiran penting yang perlu ada dalam industri perisian.
Ujian ini termasuklah ujian dari segi pengalaman pengguna, fungsi, prestasi dan sebagainya. Ujian aplikasi mudah alih ini juga melibatkan pelbagai aspek lain yang perlu diambil kira semasa menguji aplikasi. Hal ini merupakan perkara yang perlu dipertimbangkan untuk ujian mudah alih. Secara keseluruhannya, ujian aplikasi telefon pintar terdiri daripada beberapa cara dan kaedah. Antaranya ialah, penguji perisian perlulah menyemak jenis permohonan dalam ujian aplikasi yang akan dijalankan. Sasaran pengguna juga mestilah dianalisis untuk mengetahui sasaran pengguna bagi aplikasi tersebut. Kesesuaian aplikasi terhadap platform juga haruslah dititikberatkan. Hal ini kerana, terdapat sesetengah platform tidak dapat menyokong aplikasi telefon pintar yang berlainan model. Misalnya, aplikasi dalam platform android dan iOS haruslah disemak.
Versi platform sasaran juga sangat penting untuk memastikan aplikasi yang dibangunkan dapat disokong oleh versi platform sedia ada dan terkini di bawah pengendalian iOS atau android. Resolusi dan saiz skrin telefon pintar yang berbeza juga haruslah dititikberatkan untuk memastikan aplikasi tersebut boleh berjalan lancar mengikut spesifikasi telefon pintar yang berbeza. Walau bagaimanapun, untuk menguji semua kriteria tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana berlaku pendedahan terhadap ralat. Penyasaran dan ujian pada satu peranti sahaja akan mengambil masa yang banyak dan ia bergantung pada kitaran hayat pepijat. Oleh itu, perkembangan teknologi menjadikan pasaran aplikasi berkembang secara berterusan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Statista pada tahun 2020, daripada 5 juta aplikasi dalam telefon pintar, pengguna menyahpasang kira-kira 70 peratus aplikasi disebabkan isu teknikal.
Oleh itu pembangun aplikasi perlulah lebih peka ke arah meningkatkan kualiti aplikasi untuk pengalaman pengguna yang lebih baik. Antara strategi terkini yang boleh dijalankan dalam pengujian aplikasi adalah dengan menjalankan ujian automasi. Dengan menjalankan ujian, pembangun aplikasi dapat memastikan fungsi aplikasi yang digunakan berfungsi dengan baik. Ia memerlukan ujian berfungsi dan tidak berfungsi. Prosedur yang panjang untuk menguji suit ujian ini secara manual boleh ditangani dengan menjalankan ujian automasi untuk meningkatkan kecekapan dan menjimatkan masa. Selain itu, dalam pengujian aplikasi, perlaksanaan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) perlulah diterapkan untuk membantu proses automasi pengujian.
Dengan kemajuan teknologi, ujian aplikasi telefon pintar juga semakin meningkat. Pelbagai alat ujian aplikasi berasaskan AI dan ML banyak membantu dalam menambah baik ujian seperti satu set amalan yang menggabungkan pembangunan dan perisian dan operasi IT atau DevOps. DevOps membantu dalam mempercepatkan ujian automasi dengan menawarkan maklum balas secara berterusan. Ia akan memudahkan pembetulan pepijat. Strategi lain yang boleh dijalankan ialah pengujian aplikasi dalam awan. Penggunaan awan tidak memerlukan sebarang perkakasan untuk menubuhkan peranti. Pengujian dalam awan boleh dilakukan dalam banyak peranti secara serentak dan boleh diubah mengikut keperluan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Secara keseluruhnya, ujian aplikasi telefon pintar adalah sangat penting. Ujian aplikasi bukan hanya berkaitan dengan menulis kes ujian atau melaksanakan ujian tersebut. Penguji aplikasi haruslah meneroka aplikasi telefon pintar berserta ciri-ciri yang ada. Pengujian yang menggunakan kaedah terkini seperti pengautomasian ujian aplikasi telefon pintar boleh dijalankan secara meluas untuk membantu proses pengujian. Memandangkan ujian aplikasi mudah alih semakin mendapat perhatian industri teknologi maklumat (IT) pada hari ini, pelbagai alat automasi untuk ujian aplikasi mudah alih telah dikeluarkan. Pemilihan kaedah yang terbaik perlu dibuat berdasarkan keperluan untuk memastikan pengujian dapat dijalankan dengan lancar dan memastikan aplikasi yang dikeluarkan adalah berkualiti untuk digunakan.
Oleh: Dr. Rabatul Aduni Sulaiman
Jabatan Kejuruteraan Perisian
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)