KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 berdasarkan semangat yang ditunjukkan oleh para pemimpin gabungan parti itu.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Mohd, Yassin berkata, gabungan PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan sudah lama bergerak sejurus selepas terbentuknya kerajaan PN.
Menurut Muhyiddin, parti itu juga akan membuat tawaran baharu yang lebih baik kepada rakyat pada PRU-15 nanti.
“Pelancaran pada malam ini sungguh bermakna ketika khabar angin berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin kencang bertiup.
“Saya menegaskan sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, semangat yang ditunjukkan pada malam ini membuktikan Perikatan Nasional sudah bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya.
“Perikatan Nasional juga sudah bersedia dengan tawaran baharu yang lebih baik untuk rakyat selari prinsip PN yang sentiasa mengutamakan rakyat dengan jika menang nanti,” kata Muhyiddin.
Beliau melancarkan PN Perak dalam satu majlis yang meriah dan bermakna di Kuala Kangsar malam tadi.
Perak merupakan negeri keempat PN dilancarkan secara rasmi. selepas Johor, Kelantan dan Terengganu.
“Saya percaya rakyat akan memilih PN kerana ia merupakan pilihan terbaik masa ini berbanding Pakatan Harapan yang terkenal kerana tidak menyempurnakan janji.
“Manakala UMNO dan Barisan Nasonal pula sudah terpalit dan bergelumang dengan isu rasuah, penyelewangan dan salah guna kuasa, insya-Allah,” kata Muhyiddin.
Parti PN didaftarkan dengan sijil pendaftaran bernombor PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkuat kuasa pada 7 Ogos 2020.
Parti gabungan ini berada dalam kerajaan campuran bersama-sama Barisan Nasional (BN) akan membuat haluan masing-masing pada PRU-15 selepas UMNO menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu.-MalaysiaGazette