Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kini dibuka serta-merta.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kini dibuka serta-merta.

Manakala tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kelak selepas SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh pilihan raya, kata Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak.

Seterusnya untuk permohonan undi pos bagi Kategori 1A (Petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media) hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan.

Alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di
luar negara) & 1C (agensi/organisasi) pula, permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian (online) melalui portal beralamat https://myspr.spr.gov.my/login.

“SPR juga ingin memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU-15 dengan turut mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Terdahulu, SPR mengambil maklum akan pengisytiharan pembubaran Parlimen Penggal ke-14 yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob setelah diperkenan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 10 Oktober 2022. – MalaysiaGazette