Pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai namun majoritinya akur Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai namun majoritinya akur Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ada dalam kalangan mereka bersetuju namun ada juga terpaksa akur kerana sudah ditetapkan pada tahun ini juga.

Nor Rahim Tengol. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

Bagi Nor Rahim Tengol, 64, pada awalnya dia berbelah bahagi sekiranya Parlimen dibubarkan namun memandangkan kemelut politik negara yang tidak stabil, keputusan tersebut dirasakan wajar.

“Dengan adanya PRU, rakyat akan memilih dan menentukan dasar untuk kerajaan yang akan datang kerana kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun, Nor Rahim berharap agar tarikh PRU disegerakan supaya dapat elak daripada impak banjir yang besar seperti diramalkan hujung tahun ini.

“Kalau boleh PRU dijalankan seawal bulan 11 kerana menurut Jabatan Meteorologi meramalkan keadaan cuaca Malaysia tidak menentu dari Jun 2022 hingga Mac 2023,” katanya.

Mohamed Ridzuan Mansor.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

Sementara itu, Mohamed Ridzuan Mansor, 59, juga bersetuju dengan pembubaran Parlimen sekiranya itu adalah keputusan yang  baik untuk negara dan rakyat.

“Saya okay sahaja kerana saya sebagai rakyat ikut sahaja apa keputusan kerajaan dan hormati keputusan Agong yang telah perkenan pembubaran Parlimen ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridzuan berharap sekiranya berlaku banjir semasa PRU diadakan, calon-calon yang akan bertanding diharap dapat membantu mangsa-mangsa terlibat.

Zarinah Muhyidin.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

Dalam pada itu, Zarinah Muhyidin, 46, juga bersetuju Parlimen dibubarkan memandangkan kerajaan pada masa kini tidak stabil dan status kerajaan campuran.

“Apabila kerajaan bercampur, maka kerajaan tidak dapat membuat keputusan yang sepakat, jadi saya harap selepas ini kita dapat membentuk kerajaan dua pertiga,” ujarnya.

Menurutnya, PRU boleh ditangguhkan ketika musim banjir dan calon-calon bertanding haruslah bijak menyusun strategi sekiranya musibah itu melanda.

Kamarulzaman Yusof. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

Bagi Kamarulzaman Yusof, 66, pula merasakan pembubaran Parlimen kali ini tidak wajar memandangkan kemungkinan berlakunya banjir semasa proses pengundian.

“Mungkin tempat saya di Selangor ada sebahagiannya dilanda banjir tetapi di tempat lain saya kurang pasti, cumanya kenapa dan mengapa Perdana Menteri meneruskan juga hasrat yang diminta oleh parti UMNO untuk membubarkan Parlimen.

“Lagi pula tidak ada siapa yang hendak bekerja semasa banjir dan kalau betul terjadinya banjir saya rasa tak patutlah Parlimen dibubarkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette