KUALA LUMPUR – UMNO dan pimpinannya sekali lagi berjiwa besar apabila menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO meminta Parlimen dibubarkan ketika kerajaan campuran berada di puncak kuasa dan demi kemaslahatan dan masa depan rakyat serta negara.
Katanya, ia merupakan langkah tepat bagi memberi kuasa penentuan kepada rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia.
“Syukur alhamdulillah…mandat akhirnya dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penentuan mutlak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus membuktikan UMNO dan pimpinannya sentiasa berjiwa besar dalam apa jua perkara melibatkan kepentingan rakyat dan tanah air.
“Walau parti ini pernah disalaherti angkara fitnah dan tipu daya beberapa tahun lalu, tidak sesekali UMNO berpaling daripada perjuangan untuk rakyat dan negara.
“Dalam keadaan diburuk sangka, ditekan dan diasak dari segenap arah, UMNO tetap istiqamah berpegang kepada kebenaran dan tanggungjawabnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, UMNO berjiwa besar pada 2020 apabila merestui sebilangan wakil rakyatnya yang mahu bekerjasama dengan seteru politik bagi membentuk kerajaan sementara.
Ia dilakukan ketika negara dalam keadaan kucar-kacir selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang angkara perebutan kuasa sesama mereka.
Ujarnya, UMNO berjiwa besar demi rakyat bersetuju mengangkat ketua parti lawan sebagai Perdana Menteri bagi mengelak krisis pentadbiran daripada berterusan.
“Namun ibarat air susu dibalas tuba, kebaikan UMNO dibalas dengan pembelotan “scheme of things” mahu menikam parti ini dari belakang.
“Perdana Menteri kerajaan sementara gagal mengalas amanah yang diberikan menyebabkan UMNO terpaksa menarik balik sokongan kepadanya,” katanya dipercayai sebagai reaksi terhadap pembubaran Parlimen ke-14 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri menerusi Perutausan Khasnya memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pembubaran Parlimen Ke-14 hari ini.
Katanya, ia adalah selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan dimana, Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaannya supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini.
Serentak itu, Perdana Menteri mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing. – MalaysiaGazette
















