Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan menggunakan simbol parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi calon yang bertanding di Kelantan, manakala di negeri lain menggunakan lambang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya, hari ini.

“Parti-parti dalam GTA sama ada Pejuang, parti Berjasa dan NGO yang bertanding di Kelantan akan menggunakan lambang Putra. Begitu juga calon Putra di luar Kelantan akan bertanding atas simbol Pejuang.

“Kita tidak dapat menggunakan lambang GTA kerana belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana pagi ini, Tun Dr. Mahathir dilaporkan berkata, GTA tidak dapat menggunakan nama parti gabungan itu pada PRU15 ini kerana belum diluluskan RoS.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua calon GTA yang bertanding pada PRU15 akan menggunakan nama dan logo Pejuang, kecuali di Kelantan, calon GTA akan bertanding menggunakan nama dan logo Putra atas faktor kes istimewa.

Dr. Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya Putra berkata, keputusan itu dibuat berikutan rakyat Kelantan telah mengenali parti itu yang lebih tiga tahun ditubuhkan dan sudah melakukan gerak kerja di negeri berkenaan.

Katanya, Putra akan meletakkan calon di 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melawan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini kita sedang menunggu senarai calon dari Pejuang, Berjasa dan NGO, sebelum kita muktamadkan kerusi yang akan bertanding dalam masa terdekat ini.

“Kita akan letakkan calon pelbagai peringkat profesional, ada yang dewasa, muda dan wanita dari Wira Wati,” katanya.

Kata beliau, bagi pertandingan kerusi DUN, pihaknya menunggu keputusan kerajaan Pas terlebih dahulu sama ada akan membubarkannya serentak dengan Parlimen atau mengadakan PRU tahun depan.

“Kalau Pas bubar serentak, kita akan bertanding di dua kerusi itu, tetapi jika bubar tahun depan, kita akan bertanding kerusi Parlimen dahulu tahun ini dan kerusi DUN tahun depan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast