Anwar Parlimen
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Sikap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan pembubaran Parlimen dianggap sebagai sesuatu yang pelik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Anwar dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini selalu meratib ‘kerajaan pintu belakang’ dan ‘bukan mandat rakyat’.

“Bila diserahkan kembali mandat kepada rakyat, kenapa pula datang dengan 1,001 alasan untuk tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Anwar dalam kenyataan media malam tadi menyifatkan keputusan kerajaan membubarkan Parlimen sebagai mementingkan diri kerana tergamak membahayakan nyawa rakyat semata-mata untuk mengadakan pilihan raya.

Pengerusi PH itu memberitahu, banjir telah pun bermula di Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Kuala Pilah, Baling dan Tebrau.

Asyraf mengingatkan Anwar yang kuasa membubarkan Parlimen adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengakui memang UMNO bukan parti majoriti dalam kerajaan dan menyebabkan ia tidak stabil serta ugut mengugut terus berlaku.

“Kemuncaknya, apabila 12 menteri Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mengutuskan warkah kepada Seri Paduka mendahului dan menyanggah Perdana Menteri.

“Itu dengan sendirinya memberikan isyarat jelas kepada Seri Paduka bahawa kerajaan tidak lagi boleh berfungsi dengan baik untuk rakyat kerana tidak pernah berlaku perutusan warkah sebegitu rupa,” jelasnya.

Asyraf menambah, maka Seri Paduka sebagaimana kenyataan media Istana Negara semalam menggunakan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membubarkan Parlimen bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih stabil. – MalaysiaGazette