pakatan harapan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dikatakan sengaja mencipta pelbagai alasan termasuk kemungkinan banjir bagi membantah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat setelah menyedari rakyat tidak menyokong mereka.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, PH tidak pula membangkitkan tentang isu banjir ketika mendesak untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada 20 November tahun lalu.

“Setelah kalah teruk di PRN Johor dan seterusnya di PRN Sarawak (hari mengundi 18 Disember 2021), keyakinan PH mula merudum.

“Lalu, PH tidak lagi yakin dan mereka mula membantah segala PRN atau PRU diadakan dengan berderet-deret panjangnya alasan termasuk membantah PRN Johor pada 12 Mac 2021 (bukan musim banjir pun),” katanya dalam hantaran hari ini.

Ketika ini, PH masih mempersoalkan keputusan kerajaan membubarkan Parlimen semalam walaupun telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PH juga enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang dikuasainya iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, menyebabkan PRN tidak dapat diadakan serentak dengan PRU15.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menambah, antara alasan yang digunakan PH untuk membantah PRU15 sejak awal tahun lalu termasuk pandemik Covid-19 sedang melanda, negara belum pulih dari pandemik, inflasi belum reda, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Alasan-alasan lain adalah sokongan orang Melayu terhadap UMNO sedang merudum, tidak menghormati Deepavali, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Ramadan, bekalan telur di pasaran tidak mencukupi, tidak menghormati Parlimen, Bajet 2023 perlu dibentang dan diluluskan dahulu, PRU15 mengganggu jadual akademik dan Bajet 2023 yang telah dibentangkan tidak bermakna jika Parlimen dibubarkan.

“Alasan terbaharu PH untuk membantah PRU ketika ini ialah ‘musim banjir’ biarpun Jabatan Meteorologi meramalkan musim banjir hanya akan bermula pada pertengahan November tahun ini.

“Jadi, kita masih ada ruang sekiranya hari mengundi diadakan pada lewat Oktober ataupun awal November tahun ini.

“Takde pun PH mahupun Perikatan Nasional (PN) pernah gunakan alasan banjir apabila PRN Melaka diadakan pada lewat November atau membantah PRN Sarawak pada lewat Disember tahun lepas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast