Kereta Kancil yang terbakar di Bandar Kinrara lewat malam Isnin membawa kepada penemuan seorang warga emas tempatan yang rentung ditempat pemandu. Ihsan Bomba Selangor

SERDANG – Seorang warga emas ditemukan rentung dalam sebuah kereta Kancil yang terbakar dalam kejadian di Bandar Kinrara, Puchong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, anggota polis di Bilik Gerakan IPD Serdang menerima maklumat orang awam berkenaan kebakaran tersebut malam Isnin.

“Siasatan polis mendapati kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak Bomba dari Balai Bomba Puchong dan pihak ambulans dari Hospital Serdang tiba di tempat kejadian.

“Pemeriksaan di dalam kereta yang terbakar 100 peratus itu anggota bomba menemui mayat lelaki yang rentung sepenuhnya sebelum pegawai ambulans KKM mengesahkan kematian mangsa.

Sebuah kereta Kancil yang terbakar 100 peratuas di Bandar Kinrara lewat malam Isnin membawa kepada penemuan seorang warga emas tempatan yang rentung ditempat pemandu. Ihsan Bomba Selangor

“Pihak Forensik IPK Selangor, Forensik Bomba dan pasukan Patologi Hospital Serdang turut hadir membantu siasatan dan tidak menjumpai sebarang unsur khianat,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Katanya, mangsa dikenalpasti identitinya sebagai lelaki warga emas tempatan berumur 78 tahun yang tinggal di Bandar Kinrara seorang diri dan tidak bekerja.

Jelas Anbalagan, waris mangsa juga telah dipanggil bagi proses pengecaman namun sukar disebabkan keadaan mangsa yang telah rentung.

“Bagaimanapun, keterangan daripada waris memaklumkan kaki kiri bapanya terdapat besi akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1995 selain mengidap sakit jantung.

Sebuah kereta Kancil yang terbakar 100 peratuas di Bandar Kinrara lewat malam Isnin membawa kepada penemuan seorang warga emas tempatan yang rentung ditempat pemandu. Ihsan Bomba Selangor

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang juga mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah pada badan mangsa sementara pemeriksaan lanjut juga konsisten dengan keterangan anak mangsa iaitu pada anggota badan mangsa.

“Bagaimanapun, ujian DNA diperlukan bagi menyokong identiti mangsa yang terlibat dalam kes ini dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujar Anbalagan lagi.

Dalam pada itu Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan mengenai kebakaran kereta Perodua Kancil berwarna merah di Bandar Kinrara tersebut pada jam 10.35 malam semalam sebelum jentera bomba bersama anggota penyelamat tiba ke lokasi lapan minit kemudian.

“Sejurus tiba di lokasi mendapati kereta kancil itu terbakar sepenuhnya sebelum anggota bomba berjaya mengawal api dan memadamkan sepenuhnya.

“Kemudian pemeriksaan bomba di dalam kereta terbakar itu menemui mayat manusia rentung di tempat duduk pemandu,” tegasnya.-MalaysiaGazette