PUTRAJAYA – Sebanyak 11 francaisor dan bakal francaisor menerima Geran Penuh Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik (F3M), hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, geran berkenaan adalah bagi membantu francaisor membangunkan pakej permulaan perniagaan francais mampu milik yang bernilai RM100,000 ke bawah dan RM50,000 ke bawah.
“KPDNHEP sebagai peneraju pembangunan industri francais di negara ini telah melaksanakan program- program pembangunan dalam negara bagi mempromosikan francais kepada rakyat termasuk pelaksanaan Program Pembangunan Francais Mikro dan empat Francais Mampu Milik ini.
“Program ini adalah salah satu program utama dalam usaha menarik penglibatan lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 untuk menceburi bidang perniagaan francais.,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Jelajah Francais Mikro dan Mampu Milik (F3M) Peringkat Zon Tengah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.
Program F3M yang diperkenalkan sejak tahun 2021 telah memanfaatkan 19 francaisor sebagai penerima Geran Penuh.
Seramai 33 francaisi telah dilahirkan melalui inisiatif pemberian Geran Padanan.
Sebanyak 12 siri jelajah F3M telah dianjurkan sepanjang tahun dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dari seluruh negara.
Program ini diwujudkan untuk memberikan pendedahan mengenai Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik serta memberikan inspirasi berkaitan peluang perniagaan francais kepada masyarakat umum.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang jelajah adalah sesi business pitching dan pemadanan, sesi konsultasi, sesi ceramah dan pameran oleh syarikat-syarikat francais yang menawarkan pakej permulaan perniagaan pada skala mikro, termasuk bantuan kewangan atau pembiayaan tawaran kerajaan.
Geran Padanan merupakan salah satu inisiatif di bawah program berkenaan.
Jelas Azman, Geran Padanan mampu menambahkan bilangan penggiat francais daripada golongan B40 dan M40 untuk menjadi francaisi bagi menjalankan perniagaan francais berskala mikro atau mampu milik.
“Geran Padanan ini bertujuan untuk mengurangkan kos permulaan perniagaan francais yang perlu ditanggung oleh bakal francaisi B40 dan M40 di mana kadar pembiayaan yang ditawarkan adalah sebanyak 90 peratus kepada francaisi yang berpotensi,” jelas beliau.
Sehubungan itu beliau mewakili KPDNHEP berharap agar program ini akan diteruskan dan melahirkan lebih ramai penggiat francais yang berdaya saing pada masa akan datang.
“Suka untuk saya mengambil kesempatan ini bagi menyeru semua peniaga dan bakal peniaga untuk memanfaatkan apa sahaja peluang dan insentif yang disediakan oleh pihak Kerajaan bagi membantu menyokong perkembangan perniagaan anda dan ingat, Nak Berniaga? Pilih Francais,” katanya. – MalaysiaGazette