Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) menzahirkan rasa kecewa terhadap pendirian pemimpin UMNO yang tergesa-gesa membubarkan Parlimen ketika negara diramal berdepan banjir pada penghujung tahun ini.

Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yakin pemimpin-pemimpin parti politik lain serta rakyat secara keseluruhannya berkongsi perasaan sama.

“Kalau kita tengok komen di sosial media, rakyat menghentam keputusan kerajaan dengan begitu teruk sekali. Malah ada juga komen yang negatif terhadap Istana Negara”

“Ini melambangkan rakyat amat kecewa dengan keputusan kerajaan.” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan berkata, keputusan itu seolah-olah tidak logik kerana semua tahu antara bulan Oktober sehingga Januari tahun depan adalah fasa musim tengkujuh.

“Ini adalah bencana alam tradisi di negara kita. Pemimpin UMNO menyedari bencana di bulan-bulan itu yang kemudian akan memuncak kepada bencana alam tetapi mereka tetap membubarkan Parlimen,” katanya.

Namun beliau berpendapat keputusan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana realitinya itulah sikap pemimpin UMNO.

Tambah beliau, Barisan Nasional (BN) dan UMNO diyakini tidak akan berupaya membentuk kerajaan baharu selepas PRU15 walaupun Presidennya dan para pemimpin parti itu berkata sebaliknya.

“Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kerana membuat keputusan menggesa PM untuk bubarkan Parlimen di waktu genting ini. Satu tindakan yang tidak munasabah” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast