Datuk Seri M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli disifatkan sebagai manusia ajaib yang hanya muncul setiap kali musim pilihan raya dan mempolitikkan isu pekerja asing di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menempelak sikap tidak profesional pemimpin PKR itu yang didakwa mengikut telunjuk DAP dan mendakwa kononnya isu pengambilan pekerja asing di negara ini belum diselesaikan.

Membidas dakwaan Rafizi, Timbalan Presiden MIC itu menjelaskan sebenarnya isu membabitkan pekerja asing telah lama diselesaikan kerajaan.

“Apabila Lim Guan Eng dari DAP kata isu pekerja asing belum selesai, Rafizi pula terikut apa yang diutarakan oleh Pengerusi DAP itu yang jelas menunjukkan kalau undi PKR bererti DAP akan control kuasa.

“Kebetulannya isu pekerja asing ini sudah lama selesai. Susahlah si Rafizi ini, kalau tak tahu isu sebenar tolong tanyalah..saya tahu Rafizi ini pandai sangat.

“Saya marah dia kerana dia ini insan ajaib sebab muncul musim pilihan raya sahaja, semasa Covid-19 dia tak muncul beri idea-idea yang bernas tetapi sekarang Guan Eng kata isu pekerja asing tak selesai, dia pula terikut sama,” katanya.

Saravanan berkata demikian selepas hadir merasmikan Program Penyelia Penginapan dan Kemudahan Pekerja di Damansara hari ini.

Tambah Saravanan, sehingga hari ini terdapat lebih kurang 1.1 juta pekerja asing di negara ini.

Menurutnya, sejak negara memeterai perjanjian bersama Bangladesh dan Indonesia, dalam tempoh tiga bulan bermula Julai hingga September lalu, seramai 159,000 pekerja sudah dibawa masuk manakala sebanyak 255,000 lagi sudah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

“Dengan ini, lebih kurang 1.6 juta pekerja asing sudah selesai sementara seramai 644,000 lagi sedang dalam proses pemeriksaan biometrik dan perubatan di negara-negara sumber dan bererti keperluan semasa negara terhadap tenaga kerja warga asing sudah selesai.

“Mereka akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat selepas ini dan kalau Rafizi tak tahu tolong tanya, tak payahlah buat ceramah politik..macam tidak ada modal lain pula,” bidas Saravanan lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast