Jho low
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Saksi ke-40 perbicaraan penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pernah hadir sesi makan tengahari bersama pengurusan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) dan beberapa pegawai AmBank.

Saksi tersebut, bekas Pengarah Urusan AmInvestment Bank Berhad, Kok Tuck Cheong mendakwa sesi makan tengahari itu diadakan di sebuah hotel lima bintang sekitar tahun 2009.

Pertemuan dalam keadaan kasual dengan kehadiran lima atau tujuh pegawai Ambank dan TIA pada 2009 dibuat tanpa pengenalan terperinci sebaliknya tidak rasmi.

Malah Jho Low lebih banyak mendengar dari bercakap pada hari itu.

Ketika sesi itu saksi telah diperkenalkan kepada Jho Low oleh Pengarah Perhubungan Ambank ketika itu, Chan Wang Seong.

Kemudiannya peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanya siapakah membayar bil dan Tuck Cheong mendakwa dirinya tidak ingat siapa namun mendakwa bukan dirinya.

“Boleh jadi pegawai bank dan sebelah pihak lagi (TIA) tetapi memang bukan saya yang bayar,” ujar saksi berkenaan.

Muhammad Shafee juga bertanya jika dalam pertemuan itu ada perbincangan pengeluaran Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion oleh TIA, saksi berkata, mereka tidak membincangkan urusan perniagaan yang serius.

“Tidak ada perbincangan secara serius pada hari itu,” katanya pada prosiding 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee juga bertanya jika saksi tahu Jho Low adalah Penasihat TIA namun kata Tuck Cheong, namanya pernah beberapa ditimbulkan namun ia bukan satu kenyataan.

Prosiding akan bersambung esok.

Untuk makluman, TIA ditubuhkan pada Februari 2009 dan dimiliki Syarikat Menteri Besar Terengganu Diperbadankan dengan Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selepas itu TIA dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada September tahun yang sama dan dinamakan semula sebagai 1MDB.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan  berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International berjumlah RM42 juta dan hadir prosiding dari Penjara Kajang. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast