Shahaniza Shamsuddin

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, 52, dicadang supaya dicalonkan bertanding kerusi Parlimen Maran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli, jika Shahaniza menang, beliau wajar dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

Menurut beliau, sebelum ini calon wanita Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Parlimen Pahang adalah Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman (Parlimen Paya Besar) dan dilantik sebagai Menteri Kabinet, juga Datuk Seri Maznah Mazlan dilantik sebagai timbalan menteri menerusi lantikan senator, bukan ahli Parlimen.

Katanya, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib, 67, sudah empat penggal mempertahankan Parlimen Maran sejak 2004 dan sudah sampai masanya kerusi itu dipilih dalam kalangan muka baharu.

“Jika melihat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara, tidak ada satu pun peruntukan melarang wanita dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, malah untuk jawatan Perdana Menteri sekalipun.

“Hak ini termaktub dalam Perkara 8(1) yang memberi kesaksamaan dari segi undang-undang dan Perkara 8(2) bahawa tiada diskriminasi ke atas seseorang itu atas nama agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina,” katanya lagi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meluluskan cadangan untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketetapan itu bermakna calon wanita mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan meningkat hampir sekali ganda berbanding hanya 14 peratus calon wanita pada PRU-14.

Kadar 30 peratus calon wanita itu akan mengambil kira calon wanita dari UMNO dan gabungannya termasuk Wanita MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast