SHAH ALAM – Pas jangan menggunakan dakwaan bahawa rakyat Selangor masih belum menikmati kekayaan negeri untuk membina naratif politik menjelang pilihan raya, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.
Saifuddin yang juga Ketua Penerangan Keadilan Selangor berkata, dakwaan berkenaan bercanggah dengan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif yang sedang dinikmati rakyat Selangor ketika ini, termasuk dalam aspek kebajikan, kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.
Kenyataan itu merujuk kepada perbahasan Perwakilan Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 yang mendakwa Selangor mempunyai limpahan kekayaan besar, namun rakyat masih belum merasai secara jelas manfaat dan bantuan yang sepatutnya diterima.
Beliau turut membangkitkan isu kemiskinan bandar, banjir, sampah dan kedudukan orang Melayu di bandar, selain menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 36 kerusi DUN dan 12 kerusi Parlimen di Selangor.
Mohamed Sukri pada masa sama mengetengahkan EHSAN 2030 sebagai pelan induk pentadbiran Selangor sekiranya Pas diberi mandat mengambil alih kerajaan negeri.
Mengulas dakwaan itu, Saifuddin berkata, Pas boleh menganggap bantuan sedia ada belum mencukupi dan menawarkan dasar yang mereka anggap lebih baik, namun tidak wajar menggambarkan seolah-olah rakyat langsung tidak menikmati manfaat kekayaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi Iltizam Selangor Penyayang yang merangkumi 46 inisiatif dalam bidang kebajikan, kesihatan, pendidikan, perumahan, keusahawanan dan sokongan keluarga.
“BINGKAS sahaja menyediakan bantuan RM300 sebulan kepada sekitar 30,000 penerima dengan peruntukan kira-kira RM103 juta setahun.
”Sehingga 7 April 2026, seramai 27,619 penerima direkodkan menerima manfaat program tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Saifuddin berkata, jumlah itu belum mengambil kira Skim Air Darul Ehsan, Jelajah Ehsan Rahmah, bantuan kesihatan, bantuan baik pulih rumah, bantuan warga emas serta pelbagai program lain yang disalurkan terus kepada rakyat.
Katanya, kerajaan negeri turut memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai lebih RM130 juta yang merangkumi bantuan barangan asas, baucar kepada rakyat, subsidi pengangkutan awam, sarapan percuma sekolah serta bantuan kepada sektor berkaitan.
“Jadi apabila Pas mengatakan rakyat masih belum merasai manfaat kekayaan Selangor, persoalannya mudah. Mereka yang menerima BINGKAS setiap bulan itu siapa?
“Mereka yang mendapat manfaat jualan murah, subsidi, bantuan kesihatan, bantuan pendidikan dan pelbagai program kebajikan negeri itu siapa?,” soalnya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, sasaran Pas untuk memenangi sekurang-kurangnya 36 kerusi DUN dan 12 kerusi Parlimen di Selangor merupakan impian politik yang dibenarkan dalam sistem demokrasi.
Bagaimanapun, katanya, jika benar mahu menawarkan diri untuk mentadbir negeri paling maju di Malaysia, Pas perlu tampil dengan keberanian mengakui fakta serta membuktikan kemampuan dan rekod yang boleh dinilai rakyat.
“EHSAN 2030 boleh sahaja dijual sebagai tawaran politik Pas. Cuma jangan menjual mimpi masa depan dengan memadam rekod Selangor hari ini.
“Politik yang matang bukan pertandingan siapa paling pandai mencipta persepsi, tetapi siapa yang mampu membuktikan dasar, kemampuan dan rekod kepada rakyat,” tegasnya.
Saifuddin pada masa sama mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam pentadbiran negeri dan Kerajaan Selangor akan terus memperkemas setiap inisiatif mengikut keperluan semasa.
Namun, beliau berkata perbezaan antara kritikan yang bertanggungjawab dengan propaganda politik perlu dilihat dengan jelas.
“Kritik menawarkan penambahbaikan. Propaganda pula memadam fakta demi membina cerita sendiri. Rakyat Selangor cukup matang untuk membezakan kedua-duanya,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette















