Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang difahamkan terpaksa akur dengan keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun ia berlawan dengan kehendak pimpinan tempatan.

MalaysiaGazette difahamkan satu mesyuarat mengenai perbincangan semula keputusan tiada pembubaran DUN  diadakan pimpinan DAP negeri hari ini.

Pimpinan DAP negeri dikatakan terpaksa akur dengan keputusan tersebut meskipun rata-rata mereka berat untuk menerimanya susulan bimbang ia menjejaskan peratusan orang keluar mengundi.

MalaysiaGazette juga dimaklumkan mesyuarat itu turut memutuskan calon DUN akan membantu calon Parlimen pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengumuman rasmi dibuat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengenai status sama ada Pulau Pinang kekal dengan pendirian sebelum ini atau sebaliknya. – MalaysiaGazette