Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Kanan Kerjaraya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi LLM, Datuk Ir Hasni Mohamad melawat lebuhraya selepas Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam, Lebuhraya DASH. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Kerajaan bersetuju untuk melakukan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah untuk mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat, berkuat kuasa 20 Oktober ini.

“Ia melibatkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

“Inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan mengenai masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.

“Ia akan berkuatkuasa sepenuhnya pada pukul 12.01 tengah malam 20 Oktober ini,” katanya ketika berucap merasmikan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash), di Plaza Tol Denai Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selain itu, pengurangan kadar tol bagi Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

Dalam pada itu, kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah bagi menangani masalah kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong.

“Selain itu, kerja tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan dilaksanakan susulan kejadian banjir yang kerap berlaku.

“Kesemua kerja penambahbaikan yang dimaklumkan mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan,” katanya.

Tambahnya, penstrukturan terbaru itu membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM8.8 bilion, anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi terlibat.

“Pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup,” katanya.

Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang menghubungkan Puncak Perdana di Shah Alam dengan Penchala di Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2022.

Sementara itu, katanya, Lebuhraya DASH sejauh 20.1 kilometer (km) dari Puncak Perdana, di sini, ke Penchala akan dibuka kepada umum bermula tengah malam ini dengan tol percuma selama sebulan.

“Lebuh raya yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 September lalu itu mampu mengurangkan kesesakan lalu
lintas seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak.

“Tempoh perjalanan juga dapat dijimatkan kepada 30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding laluan sedia ada yang mengambil masa lebih sejam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast