KUALA LUMPUR – Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, beliau tidak sabar untuk melihat kenyataan ‘Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) paling kotor dalam sejarah’ daripada mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, kenyataan sedemikian sering dikeluarkan oleh pemimpin DAP atau PH sejak dahulu lagi.
“Ini adalah taktik biasa PH untuk menghasut rakyat dan penyokong mereka, kononnya hak mengundi mereka terjejas,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Malah, pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, veteran DAP, Lim Kit Siang pernah menulis buku bertajuk The Dirtiest General Election in the History of Malaysia pada 1991.
Selain itu, beliau menambah, Kit Siang pernah mengeluarkan kenyataan ‘PRU13 paling kotor dalam sejarah’ diikuti oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pada PRU14.
“Selain kenyataan paling kotor itu, mereka turut akan gunakan slogan ‘Selamatkan Malaysia’ sebagaimana digunakan oleh Kit Siang sejak tahun 1960-an,” jelasnya. – MalaysiaGazette