Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah meraba anak jirannya berusia 12 tahun 2 Oktober lalu.

MELAKA – Padah meraba anak jirannya berusia 12 tahun, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 48 tahun yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam sebuah rumah di Tangga Batu dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 11 malam 2 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu hukuman ringan namun pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat mengambil kira faktor usia mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dari tarikh tangkapan pada 9 Oktober lalu. – MalaysiaGazette.