Chong Hui Yee (kiri) didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui dua tahun lalu.

MELAKA – Pengarah sebuah syarikat barangan elektronik didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui dua tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Chong Hui Yee, 38, selepas wanita tersebut mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dan syarikatnya, Leader Electronic & Electrical Trading Sdn Bhd dituduh melakukan kesalahan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu satu unit Audio Video Sender jenama HUIYISHUN model YS-100.

Kesalahan itu dilakukan di No. 60, Jalan Kota Laksamana 4, Taman Kota Laksamana pada jam 12 tengah hari 4 September 2020.

Pendakwaan dibuat di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan yang sama dan Seksyen 244 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Hui Yee yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana peralatan itu tidak mencatatkan jualan tinggi dan syarikatnya mengalami kerugian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mai Zairani Zainal Abidin bagaimanapun memohon mengenakan hukuman setimpal mengambil kira kesalahan lazim yang dilakukan selain demi kepentingan awam kerana alat terbabit mengganggu frekuensi radio pengguna lain.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memutuskan denda RM8,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast