NILAI – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Peribahasa ini sesuai untuk menggambarkan keperitan hidup seorang ibu dan bapa yang menjaga serta membesar tiga anak mereka, semuanya Orang Kelainan Upaya (OKU).
Selain OKU, tiga beradik ini turut disahkan menghidap penyakit polio, menambahkan lagi kesedihan Mohd Zamri Asmoni dan isterinya menyaksikan hari-hari mendatang dilalui cahaya mata mereka.
Mohd Zamri yang bekerja di sebuah syarikat kurier di sini, manakala isterinya suri rumah sepenuh masa sentiasa berdepan kesukaran dalam menyediakan barangan keperluan untuk Muhammad Hariz, Muhammad Hakimi dan Muhammad Uzair Hakim yang berusia antara sembilan hingga 17 tahun.
Namun, setiap masalah yang dihadapi, ada penyelesaiannya, apabila keluarga itu memohon bantuan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Tanpa berlengah, YBR tampil membantu keluarga Mohd Zamri dengan menyumbangkan bantuan wang tunai sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban mereka menampung kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Tambahan pula ketiga anak istimewa itu masih memerlukan pantauan rapi dan penjagaan khusus dari kedua ibu bapa mereka.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, bantuan itu bagi membantu Mohd Zamri menyediakan keperluan asas isi rumah dan bantuan tambahan dana bagi keperluan anak-anak OKU.
Katanya, yayasan itu menyediakan beberapa alternatif pemberian bantuan untuk golongan yang benar-benar memerlukan.
“Inisiatif ini diberikan sebagai bantuan kepada mereka yang tidak berkemampuan yang juga dalam kalangan asnaf, fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal ketika berdepan pandemik Covid-19,” katanya ketika berkunjung ke rumah Mohd Zamri di sini, semalam.
Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
YBR juga memohon kepada mana-mana agensi, syarikat atau individu yang hendak membantu keluarga ini, boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 155108669008, Mohd Zamri Asmoni. – MalaysiaGazette