Polis menyelamatkan seorang lelaki warga asing yang diculik dan dikurung di sebuah bangunan rumah kongsi di Seri Kembangan selepas diculik di Sentul Indah 7 Oktober lalu.- Foto Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing diculik dan dikurung dengan tangan dan kakinya diikat dengan rantai besi gara-gara hutang RM25, 000.

Bagaimanapun mangsa berusia 45 tahun itu diselamatkan pihak berkuasa di Seri Kembangan pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada 9 Oktober lalu pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan insiden culik.

Katanya, laporan itu mendakwa seorang lelaki warga asing telah diculik sekumpulan individu pukul 7 malam di Jalan Sentul Indah.

“Hasil siasatan mendapati, beberapa suspek yang terdiri daripada warga tempatan dan asing terlibat dalam insiden penculikan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, siasatan awal mendapati punca kejadian mangsa dituduh berhutang dengan seorang suspek yang juga warga asing membabitkan wang sebanyak RM25,000.

Katanya, selepas mangsa diculik, suspek warga asing itu telah meminta wang tebusan sebanyak RM40,000 daripada keluarga mangsa sebagai syarat untuk membebaskannya.

“Namun wang itu belum dibayar oleh keluarga mangsa seperti diugut suspek culik itu,” katanya.

Bertindak atas laporan, polis pada 9 Oktober lalu berjaya menangkap dua lelaki warga asing masing-masing berusia 34 dan 43 tahun disyaki bersubahat dan terlibat dalam jenayah penculikan itu.

Katanya, kedua-dua suspek diberkas di sebuah rumah kongsi di Seri Kembangan Selangor dan hasil tangkapan dua suspek pertama itu berjaya membawa kepada penemuan mangsa yang telah disorok dan dikurung di dalam sebuah bangunan berhampiran rumah kongsi tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tangan dan kaki mangsa telah diikat dengan rantai besi,” katanya lagi.

Selain itu tegasnya, susulan penemuan mangsa culik, pada 10 Oktober lalu, polis berjaya membuat penangkapan susulan terhadap seorang lagi lelaki dan dua wanita warga tempatan di dua lokasi berasingan di ibu negara dan Selangor disyaki terlibat dalam insiden yang sama.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka berjaya merampas beberapa barang kes turut yang disyaki digunakan untuk melarikan mangsa iaitu sebuah kereta, enam buah telefon bimbit pelbagai jenama, kunci, kad bank dan pakaian yang digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah itu.

“Dua lelaki warga asing yang merupakan suspek utama dalam insiden penculikan direman selama 14 hari sehingga 24 Oktober ini, sementara tiga suspek warga tempatan pula telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan,” katanya.

Kes berkenaan sedang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 362 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang.-MalaysiaGazette