Suasana Taklimat Waris dan Slot Bersama Naib Canselor Program Minggu Suaikenal Pelajar Baharu Semester Sesi 2022/2023 di UUM baru-baru ini.

SINTOK – Ibu, ayah dan keluarga membanjiri Dewan Mu’adzam Shah baru-baru ini bagi mengikuti Taklimat Waris Dan Slot Bersama Naib Canselor Program Minggu Suaikenal Pelajar Baharu Semester Sesi 2022/2023.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menzahirkan rasa terharu dan bersyukur kerana Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi pilihan pelajar dan waris.

”Cukup terharu hati kami kerana dalam banyak-banyak universiti, ibu ayah menghantar anak-anak ke UUM untuk melahirkan anak bangsa dan anak-anak ini akan menjadi kebanggaan ibu ayah.

”Di bumi perjuangan ini, titisan darah mengalir ramai terkorban ini tempat perjuangan, kita akan berusaha sebaik mungkin mempersiapkan mereka agar menjadi pembela masa depan dan anak muda yang luar biasa,” katanya.

Ujarnya, UUM berusaha menyantuni pelajar yang akan menjadi ikutan dan panduan kepada ramai anak muda pada masa akan datang.

”Pastinya menjadi harapan ibu ayah untuk melihat anaknya berjaya, apa yang disasarkan akan tercapai dengan digembleng seluruh tenaga universiti dan sama-sama kita usahakan, ini universiti kita,” ucapnya.

Pada majlis sama, beliau turut kongsikan perkembangan terkini universiti disusuli sesi soal jawab bersama ibu bapa yang prihatin terhadap anak-anak.

Sementara itu, waris pelajar, Noor Hana Ismail berkata, kebolehpasaran graduan UUM merupakan satu daripada tarikan yang mampu menarik lebih ramai pelajar untuk datang belajar di universiti yang terletak di utara tanah air.

”Faktor utama kami memilih UUM kerana kualiti graduan UUM memang terserlah dalam bidang kerjaya malah graduan yang tamat belajar sudah memiliki kerja sekali gus membuktikan kebolehpasaran graduan kini menjadi antara elemen signifikan kepada pelajar dalam memilih institusi pengajian tinggi untuk menyambung pelajaran.

“UUM salah sebuah universiti yang berfokus dalam bidang pengurusan dan anak saya, ‘Izzah Safiyyah Zakir Hamdi mengambil bidang kewangan, salah satu bidang terbaik di sini,” kongsinya yang juga seorang guru.

Beliau yang datang dari Kuala Lumpur ditemani suami, Zakir Hamdi Zakaria untuk menghantar anaknya selain berpeluang bersua muka dengan Naib Canselor yang hanya dilihat di alam maya sebelum ini.

“Saya tekun mendengar butir bicara Naib Canselor dan memang teruja dengan ucapannya yang bersemangat dan sungguh terinspirasi. Sebelum ini saya selalu dengar ucapannya di media sosial, kali ini alhamdulillah dapat bersemuka secara fizikal,” ujarnya yang setia menunggu di luar dewan bagi menanti kehadirannya.

Doa dan harapan beliau semoga UUM terus melahirkan graduan yang berkualiti, cemerlang dari aspek akademik pada masa sama mempunyai keperibadian yang tinggi serta beradab.

Bagi sesi 2022/2023 ini, UUM menerima 4,067 pelajar baharu terdiri daripada calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sert pelajar antarabangsa yang akan mengikuti 47 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Sarjana Muda. – MalaysiaGazette