Roti Sandwic berjenama Massimo keluaran syarikat PPB.

KUALA LUMPUR – The Italian Baker Sdn Bhd masih mengekalkan harga roti putih sandwic 400g dan 600g masing-masing RM2.80 dan RM4.00.

Pengekalan ini susulan inisiatif The Italian Baker untuk membantu mengurangkan tekanan inflasi yang dirasai rakyat Malaysia.

Pengerusi The Italian Baker Sdn. Bhd., Jeremy Goon berkata, roti, khasnya roti putih menjadi makanan ruji pilihan rakyat Malaysia pada bila-bila masa dan tempat.

Roti Sandwic berjenama Massimo menjadi rebutan ramai ketika tinjauan di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2022.

“Sebagai sebuah syarikat yang prihatin, The Italian Baker memutuskan untuk mengekalkan harga roti putih sandwic popular kami kerana berpandangan roti putih seharusnya kekal pada harga berpatutan dan boleh diperoleh oleh semua, khasnya ketika ekonomi mencabar.

“Kami ingin mengesyorkan para pengguna bahawa mereka akan dapat menikmati rasa harga roti putih sandwic Massimo pada harga mampu milik yang sama,” katanya.

Jeremy GoonMenurut beliau, The Italian Baker mengakui tekanan inflasi global dan domestik memberi kesan kepada syarikat, seperti mana yang dialami oleh seluruh industri.

Katanya, kos logistik dan harga bahan mentah termasuk ramuan-ramuan merupakan faktor-faktor penyumbang utama.

“Kami telah bertahan daripada meningkatkan harga produk kami selama mungkin dan akan mengekalkan harga roti putih sandwic Massimo buat masa ini.

“Sungguhpun demikian, berkuatkuasa 15 Oktober 2022 kesemua produk Massimo yang lain akan dinaikkan daripada 10 sen sehingga 60 sen dan pendekatan ini adalah seiring dengan jenama-jenama bakeri lain,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette