Musa (dua dari kiri) ketika mengadakan sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Tanjong, Pulau Pinang malam tadi.

GEORGE TOWN – “Tiada calon daripada  Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang berusia 95 tahun yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti,” kata Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Beliau berkata, calon yang akan bertanding PRU15 mewakili parti itu terdiri daripada mereka berusia lingkungan 30an hingga 50an.

“Bukan saja calon muda, kita juga tak ada calon anak beranak. Parti lain buat kita jangan la.

“Ini kerana ramai calon yang berhasrat bertanding atas tiket BN dan kita banyak pelapis. Mungkin depa (parti lain) tak ada calon tu keluarga depa saja,” katanya dengan nada seloroh kepada pemberita di sini.

Musa.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Lebuh Bishop di sini, malam tadi.

Mengulas sama ada BN mempunyai keyakinan rampas semula kerajaan negeri Pulau Pinang, Musa berkata, calon yang bertanding mempunyai keyakinan apabila mereka tersenarai namun kemenangan itu terserah kepada rakyat.

“Tiap-tiap calon yang nak bertanding masuk gelanggang mesti ada keyakinan dan nak memang itu terserah kepada rakyat.

“Bagi saya akan berlaku pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik BN Pulau Pinang berbanding hanya dua kerusi ketika ini.

“Insya Allah bukan lagi dua kerusi dan soal sama ada kita boleh ambil alih semula kerajaan negeri itu kita kena ada keyakinan,” katanya. – MalaysiaGazette