Muhyiddin Parlimen
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Keabsahan dan kestabilan politik yang lebih utuh akan menjadikan usaha-usaha pengukuhan ekonomi yang lebih tersusun bagi mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, faktor itu yang menyebabkan BN selama ini menyeru untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) agar mana-mana parti politik yang membentuk kerajaan kelak berupaya mentadbir dengan baik.

Menurut beliau, kestabilan politik akan membawa kepada kemakmuran negara dan perancangan ekonomi yang lebih menyeluruh.

“Pelabur luar akan lebih yakin untuk datang sebagaimana selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nilai pelaburan di Johor meningkat Johor lebih 800 peratus berbanding pelaburan tahun lepas.

“Lonjakan positif inilah yang kita mahukan kepada negara. Lebih-lebih lagi tidak ada lagi lompatan politik akan berlaku selepas PRU15 ini. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, antara beberapa isu ekonomi yang melanda Malaysia ketika ini yang akan melarat ke suku kedua 2022 adalah kadar inflasi yang semakin meningkat, terutamanya harga makanan.

Selain itu, beliau memberitahu, nilai ringgit yang semakin merendah amat memerlukan intervensi menyeluruh bagi menstabilkannya semula.

“Ketiga, pengurangan sumber manusia atau pekerja dalam beberapa sektor-sektor ekonomi seperti sektor perladangan dan sektor perkhidmatan, dan keempat ketidaktentuan situasi geopolitik serantau yang dunia yang telah memberi gangguan kepada rantaian ekonomi global,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah dengan memberi komitmen kepada perubahan struktural yang radikal dan menyeluruh.

Beliau memberi contoh, perubahan struktural terhadap pasaran kerja, keadaan fiskal dan perbelanjaan negara juga perlu direformasikan secara cermat dan tidak teragak-agak melalui disiplin fiskal, memperkenalkan cukai-cukai baharu dan menyalurkan perbelanjaan kerajaan berteraskan data terkini dan keutamaan.

“Saranan ini adalah sejajar dengan apa yang disyorkan oleh Bank Dunia baru-baru ini, dan juga telah disambut oleh Kementerian Kewangan.

“Namun, sebelum semua itu dilaksanakan, keabsahan dan kestabilan kerajaan yang lebih utuh perlu dicapai,” katanya.

Presiden UMNO itu berpandangan, antara sebab utama PRU15 perlu disegerakan adalah untuk mengembalikan kepada rakyat bagi menentukan mandat baharu kepada parti-parti politik yang mereka fikirkan sesuai memimpin negara.

Beliau menyatakan, mandat yang diberikan juga akan menjamin keabsahan kerajaan yang dibentuk.

“Selain memastikan kestabilan yang utuh apabila kerajaan yang dipilih terdiri daripada parti-parti politik yang mempunyai majoriti terbesar dalam Dewan Rakyat mahupun gabungan-gabungan parti-parti politik yang bersefahaman,” jelasnya.

Menurut beliau, keabsahan dan kestabilan secara langsung mampu memberikan fokus untuk menangani isu-isu ekonomi yang melanda Malaysia ketika ini.

“Tiada rengek bengek politik, perebutan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti sebelum ini, menuntut jawatan menteri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast