Musa.

GEORGE TOWN – Pembahagian kerusi antara komponen Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah selesai.

Bagaimanapun, Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pembahagian kerusi yang ditandingi Gerakan sebelum ini masih belum diputuskan.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam berkata, pembahagian kerusi Gerakan itu akan dimuktamatkan oleh pucuk pimpinan pusat dan pihaknya menjangkakan UMNO akan bertanding lebih daripada 15 kerusi DUN berbanding sebelum ini.

“Pembahagian kerusi sebenarnya kita kekal dengan lama iaitu UMNO (15), MCA (10) dan MIC (2) manakala kerusi Gerakan (13) pimpinan pusat belum buat keputusan lagi.

“Kita akan agih-agihkan kerusi Gerakan itu dan mungkin parti komponen termasuk UMNO akan bertanding lebih daripada kerusi PRU14.

“Dari segi pembahagian kerusi membabitkan 13  Parlimen di negeri ini pula, UMNO (5), MCA (4) dan baki empat sebelum ini milik Gerakan akan turut diagihkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Lebuh Bishop di sini, malam tadi.

Ketika ditanya sama ada Pengerusi UMNO negeri itu akan bertanding pada PRU15, Musa menegaskan beliau tidak bertanding dan BN negeri bakal mengemukakan 60 peratus calon muka baru.

Jelas beliau, pemilihan calon kali ini dibuat berdasarkan jawatan dalam parti, pengalaman serta penerimaan rakyat kawasan tersebut.

“60 peratus orang muda atau muka baru manakala orang lama 40 peratus. Kita nak bagi peluang kepada generasi baru jadi BN Pulau Pinang akan tonjolkan orang muda untuk berentap dalam PRU15 ini.

“Selain itu, kita telah serahkan senarai nama-nama calon kepada Top 5 UMNO untuk mereka tentukan dan saya difahamkan nama tersebut akan dihantar untuk tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.

“Kita sudah serah senarai calon pada Rabu lalu dalam satu perjumpaan bersama Top 5 UMNO di ibu negara dan mungkin pucuk pimpinan telah hantar senarai untuk tapisan,” katanya. – MalaysiaGazette