GEORGE TOWN – Sekurang-kurangnya satu kerusi akan ditandingi Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti bagi menghargai kesetiaan KIMMA bersama Barisan Nasional (BN) selama 46 tahun.
Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan serta rayuan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk memberikan laluan buat KIMMA bertanding kerusi PRU15.
“Meskipun kita pernah kalah, KIMMA tidak tinggalkan kita seperti parti lain yang hanya mahu berkongsi tatkala kita gembira saja.
“Jadi saya rasa wajar berikan mereka sekurang-kurangnya satu kerusi selain saya tahu penyeksaan menunggu selama lebih 40 tahun itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Lebuh Bishop di sini, malam tadi.
Ketika disoal sama ada Tanjong akan menjadi milik KIMMA susulan kebanyakan masyarakat India Muslim menetap di kawasan berkenaan, Musa berkata, tiada keputusan dibuat setakat ini.
“Memang ada dua, tiga cadangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Gerakan akan diberikan kepada KIMMA namun ia akan diputuskan pucuk pimpinan UMNO,” katanya.
Sementara itu, Presiden KIMMA Datuk Seri Syed Ibrahim Kader pula menegaskan mereka dijanjikan satu kerusi Parlimen oleh pucuk pimpinan UMNO.
“Akhirnya penantian KIMMA selama 46 tahun berbuahkan hasil apabila akan diberikan peluang untuk bertanding kerusi Parlimen namun negeri mana belum dimaklumkan,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette