Zahidi Zainul Abidin

PADANG BESAR – UMNO Padang Besar mencadangkan supaya Menteri Besar Perlis dilantik daripada kalangan wanita.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia merupakan antara perkara yang akan dicadangkan kepada UMNO Pusat sebagai persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada ketika parti mahu meletakkan 30 peratus wanita sebagai calon pilihan raya dan dalam bidang ekonomi.

“Kalau hendak letak 30 peratus (wanita) sebagai Menteri Besar di seluruh negara ia agak mustahil dan UMNO Padang Besar mencadangkan agar Perlis menjadi negeri pertama yang melantik Menteri Besar daripada kalangan wanita.

“Ini bagi membuktikan bahawa kita (UMNO) benar-benar ikhlas dalam memberi peluang kepada kaum wanita di negeri ini,” kata Ahli Parlimen Padang Besar itu kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Padang Besar di sini hari ini.

Zahidi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyeru Wanita UMNO supaya bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional pada PRU15.

Sementara itu, cadangan lain yang akan dikemukakan UMNO Padang Besar kepada pimpinan pusat  adalah untuk UMNO bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

DUN Titi Tinggi merupakan kerusi tradisi MCA sejak 1974 yang kini disandang Teh Chai Aan.

“Saya telah maklumkan perkara ini kepada MCA bagi memberi laluan kepada UMNO bertanding di lima DUN di Parlimen Padang Besar iaitu Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer dan Santan.

“Biarlah MCA bertanding di tempat pengundi majoriti masyarakat Cina untuk PRU15 nanti seperti DUN Indera Kayangan kerana mereka mempunyai kekuatan di sana,” katanya. – BERNAMA