Rahimah Husin menunjukkan bumbung, serta kipas yang 'hilang' di ruang tingkat atas kediamannya akibat kejadian ribut petang semalam.

KUANTAN – Penghuni sebuah rumah di Semambu dekat sini terdepan detik-detik cemas apabila kipas siling ‘terbang’ ke rumah rumah sebelah, bumbung, siling dan dinding tercabut serta tingkat atas kediaman mangsa bakal runtuh bila-bila masa.

Kejadian itu berlaku selepas Kuantan dilanda ribut pada jam 4 petang semalam menyebabkan lebih daripada 10 pemilik kediaman terpaksa berputih mata.

Rahimah Husin, 43 tahun, berkata, ia adalah kejadian kali pertama menimpa keluarga sejak mendiami rumah itu sepanjang 36 tahun lalu.

Susulan kejadian itu, beliau terpaksa berpindah memandangkan rumahnya sudah tidak selamat.

Dia menganggarkan kerugian lebih RM20,000 tetapi jumlah itu mungkin lebih kerana belum dinilai sepenuhnya.

Menurut Rahimah, banyak kerja-kerja pembaikan perlu dibuat kerana struktur rumahnya tidak lagi kukuh selepas dilanda ribut.

Kerosakan ruang atas rumah Rahimah Husin selepas bumbung dan siling rumahnya diterbangkan angin akibat ribut kencang, semalam.“Saya dimaklumkan kejadian ribut oleh ibu setelah dia berjaya keluar rumah menyelamatkan diri.

“Rumah dah tak selamat bekalan elektrik sudah dipotong, lantai basah, kemudian air hujan sudah mengalir ke tingkat bawah.

“Kipas siling terbang ke rumah jiran, dinding dan bumbung, siling tercabut, jadi besar kemungkinan lantai tingkat atas akan runtuh jatuh ke bawah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tinjauan MalaysiaGazette malam tadi mendapati beberapa rumah lagi juga ditimpa ribut mengakibatkan bumbung dan atap ‘hilang’.

Rbut kencang turut merosakkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Semambu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komissioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan kejadian ribut berlaku menyebabkan tiga pelajar yang berada dalam PEDi cedera.

“Pokok tumbang di premis Pusat Internet Semambu dan semasa kejadian ada lima orang sedang berada di dalam premis,

“Tiga pelajar berusia 11 hingga 14 tahun telah mengalami kecederaan di kepala dan bengkak kaki kerana telah ditimpa rimbunan pokok yang tumbang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Semambu turut musnah akibat kejadian ribut yang menumbangkan beberapa pokok besar di dalam premis berkenaan

Mangsa kemudian telah di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Kejadian pokok tumbang menyebabkan Surau Air Putih rosak teruk, selain dua buah kenderaan yang diparkir berhampiran kawasan perumahan juga dihempap pokok.

Walau bagaimanapun, nyawa yang terkorban akibat ribut kencang yang turut melanda di beberapa lokasi seperti Air Putih, Beserah, dan Balok. – MalaysiaGazette