BAYAN LEPAS – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan tidak timbul soal kecewa berhubung pengumuman Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kekal dengan keputusan tidak dibubarkan.
Sebaliknya jelas beliau, pihaknya hanya cuba mengetengahkan pertimbangan untuk pembubaran namun atas faktor tertentu terpaksa akur dengan keputusan semua negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak membubarkan DUN masing-masing.
“Kecewa atau tidak ini adalah satu proses demokrasi. Mungkin ada isu-isu dipertimbangkan semua dan kita percaya telah menerima satu pendengaran dan perbincangan yang amat menyeluruh sebelum satu keputusan dicapai
“DAP Pulau Pinang dengan DAP Pusat cuba sedaya upaya menyakinkan pucuk pimpinan PH bahawa Pulau Pinang sepatutnya boleh mengadakan PRN serentak dgn PRU namun atas pertimbangan-pertimbangan Majlis Presdien PH bukan tak setuju PRN tetapi kalau diadakan sepatutnya diadakan di semua negeri PH.
“Kita berharap rakyat jelata faham tentang isu pembubaran ini yang mana pada asalnya keputusan sudah dibuat dan ini adalah satu proses rayuan, apabila keputusan adalah tidak dan kita terimalah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan memberi fokus terhadap 13 kerusi Parlimen pada PRU15 dalam memastikan PH dapat memenangi sebanyak mungkin kerusi di negeri ini.
“Kita menyuruh semua penyokong-penyokong kita dan semua ahli parti menumpukan perhatian dalam memenangi kerusi Parlimen negeri ini.
“Apa yang sudah diputuskan (tiada pembubaran DUN) kita biar begitu sebab sudah diputuskan. Jadi kita tumpukan semangat demi mencapai kemenangan sebab kita tak mahu UMNO atau Barisan Nasional bangkit semula dengan kemenangan yang mudah,” kata beliau.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak membubarkan DUN bagi tiga negeri yang diperintah gabungan itu iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan mengekalkan pendirian asal itu bagi membolehkan negeri berkenaan membuat persediaan bagi berdepan musim tengkujuh. – MalaysiaGazette