Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bera berlangsung pada hari ini bertempat di Dewan Konvensyen Daerah Bera

BERA – Peruntukan untuk melaksanakan agenda Bajet 2023 sudah ada meskipun semua bajet yang dibentangkan belum dibahaskan dan diluluskan ekoran pembubaran Parlimen yang dilakukan lebih awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua bajet yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu akan dilunaskan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU 15).

“Bajet 2023 masih belum diluluskan, namun duit untuk melaksakannya sudah ada. Bajet 2023 dapat dibentangkan dengan baik hasil kestabilan kerajaan yang ada ketika itu, paling besar dalam sejarah negara yangg mencukupi semua aspek.

“Bajet bila diumum dalam Parlimen kita sudahpun mempunyai duit cuma belum lulus lagi. Kalau nak bajet cantik seperti itu dilaksanakan, undilah kita baru boleh bentang semua dan lulus bajet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bera, hari ini bertempat di Dewan Konvensyen Daerah Bera di sini.

Tambahnya manifesto yang akan dibentangkan oleh pihak pembangkang cumalah janji kosong jika dibandingkan Bajet 2023 yang sememangnya sudah mempunyai peruntukan.

“Manifesto pembangkang cuma janji, duit pun tidak ada lagi. Jangan sesekali lupa, jangan kena kena tipu sekali lagi.

“Jangan dipatuk ular sebanyak dua kali oleh lubang yang sama. Duit sudah ada dan akan dilaksana bajet cuma pastikan kita menang dan semua bajet akan dilunaskan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menolak dakwaan  pihak pembangkang kononnya bajet untuk pembangunan iaitu sebanyak RM95 bilion yang merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah hanya akan menguntungkan taikun-taikun besar.

Artikel berkaitan: UMNO tidak upaya laksanakan Bajet 2023, GTA mampu – Tun M

“Bajet pembangunan untuk kepentingan rakyat. Sebagai contoh projek kecil dan sederhana, kontraktor kecil kelas G1 hingga G4 akan dapat, projek-projek ini pula akan dilaksanakan adalah untuk kepentingan rakyat di mana sebanyak RM2.55 bilion untuk jnfrastruktur luar bandar.

“Seramai 110,000 masyarakat Orang Asli akan mendapat faedah dan semua projek pembangunan dapat kepada kita yang berada di akar umbi.

“PH (Pakatan Harapan) tidak nampak apa yang kita nampak (Bajet 2023). Inilah beza antara kita dengan mereka,” katanya.

Terdahulu pada Ahad, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan kemampuan Barisan Nasional (BN) melaksanakan  Bajet 2023 yang dibentangkan dalam Sidang Dewan Rakyat, 7 Oktober lepas.

Bajet 2023 yang dibentangkan itu dikatakan untuk pilihan raya apabila parti-parti lawan tidak diberikan hak untuk membahas peruntukan-peruntukan yang diberi kepada semua lapisan rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast