KUALA LUMPUR – Enam pasar malam di Kelantah dipilih untuk menjalani Program Transformasi Pasar Malam (PTPM).
Pasar malam terbabit adalah pasar malam di Majlis Daerah Machang, Majlis Daerah Bachok, Majlis Daerah Pasir Puteh, Majlis Daerah Ketereh, Majlis Daerah Tumpat dan Majlis Daerah Gua Musang.
Menurut Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk M Noor Azman Taib seramai 1650 orang peniaga pasar malam di negeri itu akan mendapat manfaat daripada program terbabit.
Beliau mewaliki Menteri KPKT Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melancarkan PTPM peringkat negeri Kelantan yang berlangsung di Machang baru-baru ini.
“Saya berharap pasar malam di pekan Machang ini akan menjadi penanda aras dan contoh kepada pasar-pasar malam di negeri Kelantan memulakan transformasi untuk memberikan imej baru kepada pasar-pasar malam di negeri Kelantan.
“Semoga usaha ini dapat menjadi pasar-pasar malam di Kelantan sebagai satu daya tarikan pelancong yang akan merancakkan lagi ekonomi di negeri Kelantan.
“Saya juga berharap PTPM peringkat negeri Kelantan akan dapat memperkukuhkan lagi tahap kecekapan pengurusan pasar malam, pasar harian dan pasar tani oleh PBT ke arah penyediakan perkhidmatan perbandaran yang mampan selari dengan aspirasi “Malaysia Berdaya Huni” atau “Liveable Malaysia” KPKT,” katanya dalam ucapan.
PTPM dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 Disember tahun lalu.
Pelaksanaannya dijalankan secara berperingkat melibatkan 50 tapak pasar malam di seluruh negara.
Fasa pertama menyaksikan sebanyak 23 buah tapak pasar malam di lokasi terpilih dinaik taraf dengan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Program itu dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 3,826 orang peniaga pasar malam di seluruh negara.
M Noor Azman berkata, KPKT melaksanakan PTPM untuk menambah baik pengurusan pasar-pasar malam bagi menyokong aktiviti yang terjejas akivat Covid-19 sebelum ini.
“PTPM ini merupakan salah satu daripada empat Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) KPKT.
“Program ini mengambil kira situasi penyakit Covid-19 yang menjadi endemik dan mengintergrasikan keperluan di bawah Garis Panduan Pengurusan Pasar Malam KPKT dan norma baharu pencegahan penyakit berjangkit, untuk memberi imej baharu dan keseragaman pengoperasian pasar malam.
“Selain itu, PTPM juga bertujuan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pasar malam adalah tempat yang selamat dari ancaman Covid-19 dan penyakit berjangkit walaupun melibatkan perkumpulan ramai orang,” katanya.
PTPM memberi imej baharu pasar malam yang lebih teratur dan seragam serta memberi keselesaan kepada pengunjung.
Ciri-ciri persekitaran yang mampan termasuk dari aspek infrastruktur fizikal dan persekitaran yang berkualiti meliputi fasiliti, serta persekitaran yang selamat.
Langkah tersebut berupaya meningkatkan keyakinan dan mengurangkan kegusaran kepada rakyat untuk bangkit semula merancakkan sektor ekonomi dalam fasa endemik.
PTPM mengintegrasikan keperluan-keperluan di bawah Garis Panduan Pengurusan Pasar Malam, Pasar Harian, Pasar Tani KPKT dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Ia melibatkan aspek pencegahan penularan penyakit berjangkit, aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan pengunjung di semua PBT.
Elemen-elemen baru yang terdapat dalam inisiatif ini adalah penambahbaikan kemudahan asas dan aspek keselamatan dengan pelantikan Marshal Pasar Malam, kemudahan CCTV dan kabin penganjur pasar malam.
Selain itu ia turut meliputi penjarakan fizikal antara penjual dan pelanggan, gerai-gerai, laluan sehala dan penyeragaman pengoperasian pasar malam dalam usaha memperkasakan komuniti peniaga pasar malam.-MalaysiaGazette