Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berucap pada Majlis Penutup Program Pendakian 121 Puncak (Forestry 121 Peaks) Sempena Ulang Tahun 121 Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di Taman Eko Rimba, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 16, OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) hari ini melakar sejarah apabila berjaya memecah rekod baharu dengan pendakian 121 puncak termasuk gunung dan bukit.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rekod baharu itu mengatasi rekod 60 puncak yang telah dicipta Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2017.

“JPSM telah merekodkan Malaysia Book of Records (MBOR) di bawah kategori Most Simultaneous Mountain Ascents.

“Ia berikutan JPSM berjaya mendaki sebanyak 121 puncak gunung/bukit dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) secara serentak terbanyak pada 16 Oktober 2022,” katanya di Taman Eko Rimba, di sini, hari ini.

Jelas Takiyuddin, program pendakian 121 Puncak itu diadakan secara serentak di seluruh Semenanjung Malaysia pada hari ini sempena sambutan ulang tahun ke-121 JPSM yang disambut pada 16 Oktober setiap tahun.

“Sebanyak 165 lokasi pendakian Gunung dan Bukit telah didaftarkan hari ini yang dikendalikan oleh JPSM bersama Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan komuniti rekreasi,” katanya.

Antara kawasan pendakian terlibat termasuk Perak (30), Selangor (29), Johor (28), Pahang (22), Kelantan (15), Negeri Sembilan (13), Kedah (10), Terengganu (9), Melaka (4), Pulau Pinang (2), Perlis (1) dan Sabah (2).

Katanya lagi, seramai lebih 5,000 pendaki terlibat dengan program pendakian itu di seluruh negara.

“Rekod peserta teramai yang dicatatkan pada hari ini ialah di Selangor iaitu seramai 1,195 peserta,” katanya.

Tambahnya, program anjuran bersama JPSM dengan kerjasama MGP yang dilatih di bawah Program Reskill-Upskill Latihan Ekopelancongan Sumber Asli, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Inisiatif JPSM bagi memperkenalkan MGP kepada masyarakat awam sebelum penguatkuasaan penggunaan MGP dalam kawasan HSK dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Negeri pada 2023.

“Ianya akan memberikan peluang dan impak kepada orang awam dalam melakukan aktiviti pendakian secara selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast