Haznah Md Hashim (lima dari kiri) bergambar bersama delegasi Dhaka pada majlis makan malam sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Bangladesh baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Haznah Md Hashim menganjurkan majlis makan malam khas untuk meraikan Setiausaha Luar Negeri (Setiausaha Kanan), Masud Momen dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar Negeri Bangladesh bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka berkata, beberapa aktiviti utama dianjurkan sebagai tanda memperingati ulang tahun hubungan diplomatik itu.

Ia termasuklah penubuhan Pusat Pengajian Melayu di Universiti Dhaka pada 10 Oktober 2022 dan pengendalian satu program khusus di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) untuk pegawai-pegawai Bangladesh di Kuala Lumpur dari 3 hingga 7 Oktober lalu.

Festival Makanan Malaysia 2022 turut diadakan dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Bangladesh-Malaysia (BMCCI) dan Tourism Malaysia di Dhaka dari 8 hingga 16 Oktober 2022.

Festival tersebut telah dirasmikan oleh Dr. A. K. Abdul Momen, Menteri Luar Negeri Bangladesh dan dihadiri oleh Imran Ahmad, Menteri Expatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh.

Malaysia merupakan negara Islam pertama yang mengiktiraf kenegaraan Bangladesh pada tahun 1971 disusuli dengan pengiktirafan rasmi pada 31 Januari 1972.

Asas yang kukuh dalam hubungan Malaysia-Bangladesh telah terbina oleh Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman yang juga digelar Father of the Nation yang melawat Malaysia pada 1973.

Lawatan tersebut dibalas dengan Lawatan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-V, Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ke Bangladesh pada Disember 1974.

Semenjak itu, kedua-dua negara telah mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital.

Dengan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik diharapkan hubungan Malaysia dan Bangladesh dapat dipertingkat dan diperkukuhkan lagi untuk tahun-tahun akan datang. – MalaysiaGazette