Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini mampu memperkukuh ekonomi negara serta meningkatkan produktiviti dan daya saing rantaian bekalan perniagaan dalam sub-sektor logistik

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, Bajet 2023 bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat malah turut memperkukuh rantaian bekalan perniagaan serta daya tahan negara ketika berhadapan dengan cabaran pemulihan di pasca-pandemik.

“Bajet 2023 mampu memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat terutamanya dari segi pendapatan dan perlindungan sosial serta membantu negara untuk berhadapan dengan kebimbangan situasi ekonomi serantau dan gangguan rantaian bekalan susulan konflik Rusia-Ukraine,” kata beliau yang mengulas Bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau berkata, sub-sektor logistik memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Bajet 2023: Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan memperkukuh daya saing rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.

Abdul Latif juga yakin, sasaran negara untuk menjadi Hub Logistik ASEAN mampu direalisasikan melalui perancangan dan strategi yang inklusif serta disokong oleh tumpuan kepada peningkatan produktiviti, daya saing dan prestasi industri logistik di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Nexus Produktiviti Logistik (LPN), Datuk Seri Dr. Michael Tio pula berkata, industri logistik negara masih banyak ruang dan peluang untuk ditambahbaik.

Melalui LPN, katanya, pemain industri logistik mempunyai platform yang kukuh untuk menyumbang kepada peningkatan produktiviti sektor ini.

Jelas beliau, LPN telah pun memulakan inisiatif untuk mengesan, mengukur dan meningkatkan kesediaan industri logistik berasaskan data terkini, amalan, kaedah serta alat yang sesuai. – MalaysiaGazette