KUALA LUMPUR – Gerakan tidak akan bertanding di Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya calon-calon dari parti itu dikehendaki menggunakan logo Pas.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, keputusan itu berdasarkan prinsip partinya untuk tidak menggunakan logo parti lain semasa pilihan raya.
Menurut beliau, calon-calon dari partinya hanya bersetuju menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) sahaja.
“Gerakan mengulangi pendirian bahawa calon-calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan menggunakan logo PN, bukan logo sekutu (Pas).
“Jika ini adalah keputusan muktamad yang dibuat oleh PN (menggunakan logo Pas), kita lebih sanggup menarik diri daripada pilihan raya dan tiada ruang untuk rundingan (dalam hal ini),” katanya seperti dipetik daripada laporan Malaysiakini, hari ini.
Jumaat lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan menggunakan logonya sendiri di tiga negeri berkenaan.
Tong Keong menambah, Gerakan tidak akan menjadi seperti DAP yang menggunakan logo sekutunya, PKR pada PRU14 hanya untuk menang pilihan raya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Gerakan akan mematuhi keputusan PN jika permintaannya untuk menggunakan logo sendiri di Pulau Pinang ditolak.
“Bagaimanapun, kami masih berharap Majlis Presiden PN untuk menimbang kehendak akar umbi parti agar kami dapat menggunakan (logo) parti di Pulau Pinang.
“Kami bagaimanapun tidak akan meminta sekutu kami untuk mengguna pakai logo Gerakan di Pulau Pinang, mereka boleh menggunakan logo PN atau logo milik sendiri,” katanya.
Pada 18 September lalu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang mencadangkan agar calon-calon partinya di negeri itu dibenar menggunakan logo parti sendiri pada PRU15 kerana masih ramai yang beranggapan parti itu sebahagian daripada Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette