KUALA LUMPUR – Industri jualan langsung di Malaysia meningkat satu anak tangga dengan kedudukan nombor enam di dunia ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peningkatan tersebut memperlihatkan industri jualan langsung salah satu bidang tumpuan yang berupaya menyumbang dalam mengukuhkan ekonomi negara.

Menurut beliau, Malaysia turut diletakkan di tangga keempat di rantau Asia Pasifik bagi hasil jualan langsung pada tahun lalu melalui laporan yang dikeluarkan oleh World Federation of Direct Selling Association (WFDSA).

Alexander Nanta berkata, nilai jualan industri jualan langsung merekodkan sebanyak RM25.7 bilion bagi  tahun 2020 meningkat sebanyak 43.6 peratus dari tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM17.9 bilion.

“Jualan langsung ini penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan termasuklah pendapatan tambahan, selain menyediakan peluang perniagaan kepada masyarakat.

“Sebelum ini banyak pihak masih menganggap bahawa industri ini mempromosikan perniagaan berasaskan skim piramid atau skim cepat kaya namun perniagaan ini kini terbukti mampu menjadi sumber untuk menjana pendapatan melalui syarikat pemegang Lesen Jualan Langsung yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia Peringkat Negeri di Bandar Hilir, Melaka baru-baru ini.

Tambah Alexander Nanta, setakat 1 Oktober lalu, sebanyak 398 Lesen Jualan Langsung telah diluluskan dan masih sah untuk syarikat-syarikat menjalankan operasi perniagaan yang berkonsepkan dan bercirikan sistem yang sama.

“Enam daripada jumlah tersebut adalah syarikat yang berdaftar di Negeri Melaka. Industri jualan langsung ini telah menyumbang dengan ketara kepada pembangunan kemahiran, pertubuhan ekonomi, pertubuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast