KUALA LUMPUR – Sebanyak 350,000 stok tablet PerantiSiswa sedia diedarkan kepada pelajar serta mahasiswa yang layak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu bagi memastikan golongan tersebut mampu berdepan cabaran era digitalisasi dengan baik.
“Hasil semakan tadi mendapati ketersediaan stok pembekalan PerantiSiswa mencukupi dan sedia diagihkan segera melalui lima syarikat pembekal mengikut zon,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan permohonan bagi Fasa 1 dan Fasa 2 adalah sebanyak 474,311 iaitu membabitkan 95,882 bagi fasa awal yang dibuka selama sebulan bermula 15 April lalu.
Annuar berkata, sebanyak 23,101 peranti telah diagihkan setakat ini daripada 279,188 jumlah permohonan yang telah dilulus dan diproses untuk diagih selewat-lewatnya hujung November ini.
Bagaimanapun, Annuar menegaskan kementeriannya akan menyegerakan proses pengedaran memandangkan institusi pendidikan telah memulakan sesi pengajian selain sekolah akan bercuti tidak lama lagi.
“Banyak kolej dan universiti sudah mula pengajian. Politeknik pun ada yang mula bercuti termasuk sekolah akan cuti pada hujung tahun, ini akan menyukarkan proses pengambilan jika ada yang pulang ke kampung halaman sebab mereka akan ambil ikut zon yang dimohon,” katanya.
Ujarnya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sedang meneliti untuk membuka pusat pengedaran berpusat bagi membolehkan pelajar dapat hadir mengambil tablet secara fizikal agar proses pengedaran diselesaikan lebih awal.
Setakat ini, kementeriannya memutuskan agar pengedar yang berjaya menyediakan tenaga mencukupi perlu menghantar tablet tersebut secara serentak.
Sebagai rekod, tablet yang dibekalkan adalah jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE yang turut dilengkap aksesori seperti papan kekunci bluetooth, pen stylus dan casing.
Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan kerjasama membabitkan lima kementerian terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar. – MalaysiaGazette