Rakaman CCTV di rumah mangsa menunjukkan empat suspek bersenjatakan parang dan menutup muka memasuki rumah mangsa di Kapar.- Foto: Ihsan IPD Klang Utara.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing kehilangan rantai rantai emas dalam kejadian samun bersenjata parang berasingan oleh kumpulan yang sama dalam tempoh 15 minit di Kapar dan Bukit Raja, Klang, Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya berjaya mengesan dua rakaman video berhubung kes tersebut yang tular pada laman media sosial berdurasi 50 saat dan 20 saat.

Katanya, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes samun daripada seorang wanita dan lelaki pada jam 4.19 petang 5.51 petang.

Tambah beliau, dalam kejadian pertama yang berlaku pada jam 3.05 petang di Taman Intan, Kapar, hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati semasa kejadian mangsa yang merupakan seorang suri rumah sedang mengemas rumahnya dalam keadaan pintu dan pagar terbuka.

“Tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu yang dinaiki empat lelaki warga tempatan dengan bersenjatakan parang telah keluar daripada kereta dan menyamun mangsa dengan mengacukan parang yang ketika itu sedang mengemas di bahagian dapur rumah.

“Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kerugian tiga utas rantai emas yang telah dilarikan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rakaman CCTV di rumah mangsa menunjukkan empat suspek bersenjatakan parang dan menutup muka memasuki rumah mangsa di Kapar.- Foto: Ihsan IPD Klang Utara.

Menurut Vijaya Rao, satu lagi kejadian samun membabitkan kumpulan sama dilaporkan berlaku pada jam 3.20 petang di Taman Klang Utama, Bukit Raja yang mana seorang lelaki ditahan suspek yang menggunakan kereta Proton Waja.

Katanya, suspek kemudian merentap dua utas rantai emas yang dipakai oleh mangsa yang menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian leher akibat bergelut dengan suspek bersenjata parang sebelum itu itu.

“Suspek berjaya melarikan diri menaiki kereta yang sama yang menunggu,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan bersenjata.

Katanya, pengamatan terhadap video yang tular mendapati kes tersebut membabitkan empat suspek bersenjatakan parang yang menutup muka mereka dengan topeng dan pelitup muka.

Menurut Vijaya Rao, dua suspek yang bersenjata parang memerhatikan keadaan sekeliling selamat untuk menyamun manakala dua lagi suspek akan merentap rantai emas mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Jenayah,  Inspektor Nur Saiful Hazwan Mohamad Ridzuan di talian 016-7404177 atau pergi balai polis berhampiran.-MalaysiaGazette