Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin (6 dari kanan) serta Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim (4 dari kanan) bergambar bersama-sama penerima Anugerah Akademik Universiti 2021, baru-baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengiktiraf pencapaian dan sumbangan kakitangan akademiknya menerusi Majlis Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2021 di sini baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, program itu bagi menyokong usaha pihaknya bagi membudayakan ekosistem akademik universiti supaya lebih segar dan dinamik.

“Semua penerima dipilih berdasarkan kepada sumbangan terhadap pembangunan akademik khususnya dalam meningkatkan kecemerlangan bidang pengajaran, penyelidikan, penerbitan, inovasi, pengkomersialan serta sumbangan kepada masyarakat.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin sewaktu menyampaikan ucapan sempena majlis Anugerah Akademik Universiti 2021.

“UTeM ada potensi besar untuk mengungguli bidang pendidikan tinggi teknikal di samping menjadi hab rujukan utama bagi kesejahteraan masyarakat, pembangunan industri serta negara.

“Kesemua penerima anugerah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000, sijil penghargaan serta plak,” katanya pada Majlis Anugerah Akademik Universiti 2021 di Melaka, baru-baru ini.

Antara penerima anugerah AAU 2021 adalah Ts. Ir. Dr. Sharin Ab Ghani (Anugerah Akademik Harapan); Prof. Madya Dr. Mariam Md. Ghazaly (Anugerah Pengajaran) dan Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kasim (Anugerah Penyelidikan).

Turut menerima anugerah adalah Dr. Iskandar Waini (Anugerah Penghasilan Makalah Jurnal dan Anugerah Kualiti Makalah Jurnal) dan Dr. Mohd Najib Ali Mokhtar (Anugerah Penerbitan Buku Bidang Sains & Teknologi). – MalaysiaGazette